Powered By Blogger

Thursday 8 December 2011

Agihan zakat asnaf mualaf ditambah




SEREMBAN 6 Dis. - Baitulmal negeri ini akan menambah peruntukan untuk asnaf mualaf dalam pengagihan zakat pada tahun depan sebagai usaha memantapkan kehidupan saudara baru.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penambahan peruntukan itu akan digunakan dalam program yang menjurus kepada pemantapan akidah saudara baru seperti penganjuran seminar dan kursus.

"Melalui usaha seperti ini, kita harap tidak ada lagi kes-kes saudara baru tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan zakat perniagaan Maybank Islamic Berhad (Maybank Islamic) di sini semalam.

Pada majlis itu, Maybank Islamic menyerahkan zakat perniagaan untuk negeri itu bagi tahun ini sebanyak RM600,000.
Ia disampaikan oleh Pengerusi Maybank Islamic, Datuk Seri Ismail Shahudin kepada Mohamad yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

Menurutnya, peruntukan itu juga akan digunakan bagi memantapkan akidah saudara baru di kalangan Orang Asli yang tinggal di 68 perkampungan di negeri ini.

Katanya, daripada kira-kira 10,000 Orang Asli di negeri itu, separuh daripadanya telah memeluk Islam.
"Hasrat kita adalah supaya semua kampung Orang Asli itu mempunyai surau yang akan diuruskan oleh seorang imam atau penggalak agama Islam.

"Bagi mencapai tujuan itu, Jabatan Agama Islam negeri telah melatih ramai anak-anak kampung Orang Asli sebagai imam atau penggalak agama Islam yang akan ditempatkan di surau tersebut dan menerima gaji daripada MAINS," ujarnya.

Mohamad menarik perhatian, kerajaan negeri mahu melihat peningkatan dalam kehidupan Orang Asli selepas mereka memeluk Islam.

Beliau berkata, lonjakan dalam taraf hidup mereka akan mencerminkan kelebihan yang dinikmati apabila memeluk Islam.

No comments:

Post a Comment