Powered By Blogger

Friday, 13 January 2012

177 pembeli rumah rasa lega









Seramai 177 pembeli rumah di Taman Kerisi di sini dan Taman Bukit Ara dekat Kuala Pilah, kini boleh menarik nafas lega apabila projek perumahan berkenaan yang telah terbengkalai sejak 10 tahun lalu berjaya dipulihkan.


Seorang pembeli, A.Lingam, 40, berkata, dia melahirkan rasa gembira kerana hajatnya untuk mendiami rumah berkenaan akhirnya tercapai.

''Sudah terlalu lama saya menunggu untuk tinggal di rumah ini, hari ini rasa gembira kerana Taman Kerisi akhirnya menerima Sijil Layak Menduduki (CFO) pada 13 Disember lalu manakala Taman Bukit Ara pula pada 23 Disember.

''Selepas sekian lama menyewa rumah di sekitar bandar ini, kini saya sekeluarga dapat tinggal di rumah sendiri," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Projek Perumahan Taman Kerisi dan Taman Bukit Ara di sini hari ini.

Siti Norham, 49, yang turut melahirkan perasaan yang sama memberitahu, dia berterima kasih kepada semua pihak yang berusaha memulihkan projek perumahan berkenan sekali gus memberi kegembiraan kepada pembeli.

''Memang rasa seronok dapat tinggal rumah baru bersama keluarga kerana sebelum ini kami menumpang di rumah mertua. Usaha semua pihak memulihkan taman ini dianggap 'hadiah tahun baru' kepada kami," ujarnya
.
Sementara itu, seorang lagi pembeli, Chung Yee, 32, berkata, dia hampir berputus asa dengan status taman perumahan tersebut kerana terlalu lama terbengkalai.

''Saya fikir rumah ini gagal dipulih, namun hari ini amat lega selepas melalui satu tempoh yang lama kami pembeli dapat menduduki rumah ini. Saya gembira dan berterima kasih kepada usaha semua pihak," katanya.

Kesemua pembeli rumah di kedua taman berkenaan menerima kunci masing-masing yang disampaikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung.

No comments:

Post a Comment