Kerajaan negeri sedang berusaha untuk melonjakkan penghasilan sektor pertanian di negeri ini bagi mengurangkan kebergantungan bekalan makanan import.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Yunus Rahmat berkata, setakat ini peratusan kebergantungan bekalan makanan dari negara lain adalah sekitar 40 peratus.
Jelas Yunus, antara bahan makanan yang masih lagi diimport termasuklah beras, sayur-sayuran dan ikan.
"Untuk itu, beberapa pendekatan telah dan sedang dilakukan oleh kerajaan negeri bagi memastikan peratusan itu dapat dikurangkan.
"Antaranya, melalui Tapak Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dan usaha melaksanakan penanaman padi yang kini menjangkau 31 peratus. Setakat ini, kita menjangkakan dapat mencapai 40 peratus bagi memenuhi keperluan penduduk di negeri ini," katanya di sini hari ini.
Justeru katanya, pelaksanaan itu akan dijalankan oleh Jabatan Pertanian selain melibatkan beberapa agensi termasuk Agro Bank dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN).
Pada masa yang masa Yunus menjelaskan, inisiatif itu selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat, sekali gus mengatasi kebergantungan sumber makanan dari luar negeri mahupun negara
.
Malah kata beliau, Program Negeri Sembilan sebagai Kebun Buah-buahan dijangka bakal menampakkan keberkesanannya dengan jangkaan penghasilan 3,400 tan dalam tempoh dua tahun ini.
"Melalui program ini, masalah kebergantungan buah-buahan tempatan yang diimport dapat dikurangkan, sekali gus memenuhi keperluan di negeri ini dan Lembah Klang," katanya.
No comments:
Post a Comment