Powered By Blogger

Friday 13 January 2012

Kerajaan negeri sentiasa naik taraf kemudahan




Kerajaan negeri telah dan sedang menyediakan pelbagai kemudahan prasarana dan infrastruktur termasuklah gerai makanan di beberapa kawasan termasuk di daerah ini bagi memastikan keselesaan orang ramai sentiasa diutamakan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan, proses menaik taraf gerai-gerai yang menjadi tumpuan orang ramai yang bertandang ke negeri ini terus dilakukan termasuklah menyediakan kompleks yang memudahkan orang ramai untuk menikmati pelbagai jenis makanan.

''Sebagai contoh kawasan di Kendong sangat popular bagi orang ramai untuk mendapatkan lemang dan rendang dan kalau dahulu mereka singgah sahaja, kini, mereka boleh duduk dan menikmati hidangan.

''Begitu juga di Pedas, dahulu keadaannya amat uzur sekali dan kita telah mengambil inisiatif mendirikan kemudahan yang sama untuk para peniaga dan pelanggan datang ke situ," ujarnya
.
Mohamad berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Gerai Majlis Daerah Rembau di Dataran Rembau di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota, Datuk Dr. Awaludin Said dan ADUN Chembong, Zaifulbahri Idris.

Mengulas mengenai gerai berkenaan, Mohamad berkata, kemudahan itu dibina selepas pihaknya mendapati gerai lama tempat perhentian teksi dan bas pekan itu sudah terlalu uzur buat peniaga dan juga orang ramai untuk bertandang ke lokasi berkenaan.

Untuk itu, kata beliau, sudah tiba masanya lokasi itu diberi nafas baru yang mana kerajaan negeri dan PBT menaiktaraf kawasan berkenaan.

No comments:

Post a Comment