SEREMBAN 13 Jan. - Golongan pelajar diingatkan supaya memanfaatkan baucar RM200 yang diberi kerajaan untuk mendapatkan bahan bacaan berkualiti yang dapat membantu pembelajaran mereka.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, bantuan berkenaan diberi atas rasa tanggungjawab kerajaan untuk meringankan beban pelajar dalam mendapatkan buku dan bahan rujukan berkualiti.
"Kita patut bersyukur dengan pemberian ini. Beli buku dan ingat baucar ini tidak boleh ditukar dengan wang tunai. Gunakanlah sebaik mungkin," katanya di sini hari ini.
Mohamad berucap demikian pada majlis penyerahan baucar buku RM200 kepada penuntut matrikulasi serta pelajar sekolah menengah negeri ini di dewan Sekolah Menengah Tunku Ampuan Durah di sini hari ini.
Beliau berharap dengan pemberian baucar itu, lonjakan kecemerlangan akan dapat terus diperkasakan seiring dengan hasrat mahu menjadikan negeri ini sebagai lembah ilmu.
Mohamad turut mengingatkan orang ramai yang masih belum menyerahkan borang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) supaya segera berbuat demikian selepas tempoh penerimaannya dilanjutkan sehingga 10 Februari depan.
Katanya, penerimaan borang BR1M di luar bandar amat baik berbanding di bandar dan bagi mengatasi masalah tersebut, beliau mahu pemimpin masyarakat, persatuan penduduk dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) membantu dalam hal itu.
"Minta mereka yang layak segera isi dan hantar borang BR1M. Jangan gunakan orang tengah dan hantar di tempat yang ditetapkan. Kita dapati ada orang yang memungut borang ini dan akhirnya tidak dihantar ke tempat yang betul. Sebaliknya kita temui borang berkenaan dibuang. Ini satu cubaan sabotaj," jelasnya.
No comments:
Post a Comment