Powered By Blogger

Friday 13 January 2012

RM581,000 tampung subsidi tiket



Kerajaan negeri membelanjakan sejumlah RM581,000 bagi menampung subsidi tiket bas kepada syarikat pengusaha bas henti-henti di negeri ini untuk memastikan perkhidmatan itu diteruskan demi kemudahan orang ramai.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pembayaran interim itu dilakukan hasil daripada persetujuan bersama agar syarikat terbabit tidak menghentikan perkhidmatan disebabkan mengalami kerugian.

‘‘Kita telah putuskan dan bersetuju untuk menampung harga tiket yang sepatutnya dibayar oleh orang ramai sekali gus membolehkan syarikat terbabit menanggung kos operasi mereka.

‘‘Sebanyak 40 peratus daripada subsidi itu dibayar hari ini bagi perkhidmatan yang diberikan bermula pertengahan November sehingga hujung Disember lalu,” katanya.

Mohamad berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Wisma Negeri di sini, hari ini.

Jelasnya, inisiatif itu diambil demi menjamin kemudahan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini terus dipelihara.
‘‘Perkara ini telah dibincangkan dalam satu pertemuan antara pihak kami, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bersama syarikat bas
.
‘‘Kita juga telah menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU), di mana kerajaan negeri bersetuju memberikan subsidi tambang itu memandangkan pihak pengusaha tidak mampu menampung kos penyelengaraan, kenaikan harga alat ganti, serta membayar gaji pekerja menerusi kutipan harga tiket sedia ada,” ujarnya.

Mohamad menjelaskan, bermula tahun ini, pihak SPAD akan mengambil alih sebarang pembayaran subsidi dalam memastikan perkhidmatan tersebut diteruskan.

Baru-baru ini, SPAD mengumumkan mana-mana pengusaha bas henti-henti swasta yang menghadapi masalah kewangan meneruskan operasi boleh memohon dana sokongan sementara berjumlah RM400 juta yang disediakan Kerajaan Persekutuan.

No comments:

Post a Comment