Powered By Blogger

Saturday, 28 January 2012

Tuanku Muhriz berkenan rasmi Wisma Audit NS




 26 Jan. - Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir hari ini berkenan merasmikan Wisma Audit Negeri Sembilan di Pusat Komersial Oakland, Seremban 2 dekat sini.

Baginda turut diiringi Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud.
Ketibaan Tuanku Muhriz kira-kira pukul 11.30 pagi di pekarangan wisma berkenaan disambut oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri, Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin serta Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.

Hadir sama Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Dohak; Undang Luak Jelebu, Datuk Musa Wahab; Undang Luak Johol, Datuk Mohd. Jan Abdul Ghani; Undang Luak Rembau, Datuk Muhamad Sharip Othman dan Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri.

Majlis berkenaan turut dihadiri Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Razak Mansor dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hassan.

Sementara itu, Ambrin dalam ucapan ringkasnya berkata, wisma yang siap dibina pada Mac tahun lalu dan mula beroperasi pada April 2011 merupakan bangunan yang keempat dimiliki oleh Jabatan Audit Negara sejak ditubuhkan hampir 105 tahun lalu.

"Diharapkan melalui pembinaan bangunan yang menelan belanja hampir RM13.6 juta ini, warga kerja dapat memanfaatkannya sebaik mungkin sekali gus meningkatkan tahap kerja dan kecekapan sistem penyampaian terhadap sektor awam," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad ketika berucap memberitahu, kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Jabatan Audit Negara amat penting dalam usaha memastikan aspek pengurusan kewangan jabatan dan agensi kerajaan sentiasa berada pada tahap yang baik dan terkawal.

"Dengan adanya wisma yang serba lengkap termasuk kemudahan komprehensif, diharapkan ia dapat meningkatkan lagi prestasi serta kualiti kerja seluruh warga jabatan audit negeri ini dalam menghasilkan laporan berkualiti.

"Keupayaan ini sekali gus dapat membantu kami mempertingkatkan kecemerlangan pentadbiran dan pengurusan kewangan kerajaan negeri" ujarnya.

No comments:

Post a Comment