Powered By Blogger

Tuesday, 17 June 2014

Penambahan Kuota Sebanyak 30%


SEREMBAN 15 Jun – Menjelang Ramadan dan Syawal tahun ini, kerajaan negeri akan mengambil inisiatif khusus dengan menambah bekalan makanan dan barangan keperluan di negeri ini sebanyak 30 peratus.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan, sehubungan dengan itu kerajaan negeri telah membuat permohonan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan agar kuota itu ditambah bagi tempoh dua bulan.
Jelas Mohamad, inisiatif itu dilakukan bagi memadamkan kerisauan orang ramai di negeri ini mengenai masalah kekurangan bahan makanan setiap kali tibanya bulan Ramadan dan Syawal termasuklah tepung, gula dan minyak masak.
“Apa yang paling mustahak kita tidak mahu orang ramai nanti berdepan dengan masalah tidak cukup barang keperluan oleh kerana penggunaan bahan-bahan yang disebutkan ini bertambah pada dua bulan ini nanti.
“Kalau boleh kita mahu pastikan orang ramai dapat bekalan yang cukup tanpa rasa risau kerana dengan penambahan kuota sebanyak 30 peratus ini nanti ia diharap mencukupi sehingga hujung Julai,” katanya kelmarin.
Dalam perkembangan lain, Mohamad juga turut mengingatkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan semua penganjur bazar Ramadan agar tidak mengenakan caj tinggi kepada para peniaga sepanjang Ramadan kali ini.
Untuk itu kata beliau, kerajaan negeri telah mengeluarkan arahan kepada semua PBT di ne­geri ini supaya kadar sewa untuk para peniaga di negeri ini tidak dinaikkan dan tidak terkecuali mana-mana tapak yang diserahkan di sini PBT kepada koperasi mahupun persatuan untuk disewakan.
“Apabila sewa jadi tinggi maka barangan yang akan dijual secara langsung akan dinaikkan dan ini sepatutnya tidak berlaku dan apa yang kita buat ini adalah untuk pastikan akhirnya nanti orang ramai tidak terbeban dengan harga barangan.
“Kepada peniaga pula saya nasihatkan janganlah ambil kesempatan, jadikan ia sebagai satu ibadah menyediakan juadah berbuka puasa. Untung boleh tidak ada masalah tetapi jangan sampai melampau, itu berdosa,” katanya.

Thursday, 12 June 2014

Pergerakkan Harga Kawalan


SEREMBAN, 11 Jun – Ramadhan dan musim perayaan datang lagi. Bermulalah kegusaran dalam kalangan pengguna berkaitan dua perkara ini.  Ia seolah-olah sudah menjadi tradisi di musim perayaan, kerisauan pertama masalah kekurangan bekalan barangan keperluan asas dan kebimbangan kedua ialah isu kenaikan harga.
Ayam, daging, gula, tepung, minyak masak dan bawang adalah antara barangan yang sering berdepan masalah apabila peniaga dan penjaja sewenang-wenangnya menaikkan harganya dengan alasan kekurangan bekalan.
Justeru, piha kerajaan Negeri Sembilan telahpun mengambil pendekatan khusus mengenai permasalahan ini dengan mendapatkan kuota yang lebih bagi barangan keperluan asas dan akan memantau pergerakkan harga kawalan dari pemborong agar tidak mendatangkan kenaikan harga kepada peruncit seterusnya kepada pembeli.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan menjelaskan perkara demikian ketika sidang akhbar di Wisma Negeri, hari ini.
Menurut beliau, pihak berkuasa tempatan turut akan membuat pemantauan di gudang-gudang pemborong barangan keperluan asas agar tidak terdapat isu menyembunyikan barangan ataupun menyimpan dengan sengaja barang-barang keperluan tersebut, seterusnya menjadikan harga melambung kepada pembeli.
“Kita juga akan mengeluarkan senarai barang-barang keperluan yang mendapat kuota lebihan tersebut dengan harga yang telah ditetapkan,” katanya.

Wednesday, 11 June 2014

‘Transformasi Ke Arah Organisasi Berprestasi Tinggi’


Port Dickson, 11 Jun – Majlis Makan Malam Negeri sempena Mesyuarat Pegawai Kanan JKR Malaysia 2014 yang diadakan di Primaland Resort & Convention Centre semalam dapat disifatkan sebagai satu kebersamaan yang baik dalam kalangan penjawat awam Jabatan Kerja Raya Malaysia.
Majlis yang bertemakan ‘Transformasi Ke Arah Organisasi Berprestasi Tinggi’ itu menyaksikan jalinan kerja yang amat baik diantara Kerajaan Negeri Sembilan dan Jabatan Kerja Raya Malaysia bagi meneruskan kemajuan sebagai satu peranan.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan telah melahirkan kegembiraan beliau sewaktu berucap bagi menyempurnakan majlis yang gilang gemilang dengan harapan agar JKR Malaysia kekal bersama sebagai sahabat.
Menurut beliau, matlamat Kerajaan Negeri dalam mengutamakan kualiti kerja amat ditekankan dan diberi sokongan penuh bagi melahirkan kumpulan pekerja profesional yang sentiasa menjalankan etika kerja dengan baik.
Saranan gerak kerja yang progresif dan berintegriti juga diperlukan agar hasilnya kelak dapat dinikmati oleh masyarakat sekeliling yang memerlukan transformasi kemajuan melalui kualiti kerja yang diberikan.
“Sikap profesional harus utuh dalam setiap diri penjawat awam agar hasrat untuk menjadi pekerja yang berkaliber dan berbakat dapat dicapai.
“Jangan kita terpesona dengan kata-kata yang mampu menjatuhkan semangat diri untuk terus berkhidmat sebagai satu pasukan yang baik”, jelasnya lagi.
Selain itu, Menteri Besar juga berasa amat berbesar hati mengucapkan terima kasih di atas komitmen serta kesungguhan warga kerja JKR Malaysia dan Negeri Sembilan untuk memajukan Negeri Sembilan sebagai sebuah negeri yang maju dan membangun.
Turut hadir, Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia, YBhg. Dato’ Annies Bin Md Ariff, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, YB. Dato’ Haji Mat Ali Bin Hassan dan Ketua Pengarah Kerja Raya Negeri Sembilan, Encik Abdul Karim Bin Mohd Tahir.

Tuesday, 10 June 2014

Bazar 1 Malaysia



KUALA PILAH, 9 Jun –  Lanjutan daripada lawatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke bazar Kuala Pilah beberapa tahun yang lalu, hasrat peniaga dan masyarakat sekitar daerah Kuala Pilah direalisasikan dengan berdirinya sebuah Bazar 1 Malaysia yang gah dan moden yang menjadi tumpuan masyarakat di situ.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan menjelaskan, terbinanya bazar yang tersergam indah ini merupakan sebuah janji ditepati yang dilaksanakan dan ditunaikan kerajaan Barisan Nasional kepada penduduk Kuala Pilah.
Menurut beliau lagi, peruntukkan sejumlah RM3.5 juta dari kerajaan persekutuan bagi membina bazar baru di Kuala Pilah ini merupakan satu inisiatif terbaik memandangkan beberapa trilogi yang berlaku atas bangunan bazar yang lama akibat ditimpa kebakaran dan ribut pada tahun lalu.
“Memandangkan keadaan bazar yang begitu lama dan uzur, maka hasil dari kunjungan YAB Timbalan Perdana Menteri ke bazar ini pada masa lalu, inilah bukti kerajaan hari ini mengambil perhatian kepada rakyat dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan mensejahterakan rakyat,” jelas beliau ketika merasmikan Bazar 1 Malaysia dan Bangunan Baru Bazar Melayu Pasar Rabu Kuala Pilah.
Dasar kerajaan mahu melihat peniaga-peniaga bumiputera berdaya saing dalam perniagaan agar mampu membina sebuah negara berjaya dari peringkat akar umbi hingga kepimpinan. Justeru, bagi setiap unit kedai yang terdapat di Bazar Melayu Kuala Pilah, pihak Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) hanya mengenakan bayaran sewa kepada pemilik premis dengan bayaran RM 13 sebulan, iaitu RM0.43 sewa sehari.
YAB Menteri Besar turut menjelaskan bahawa menjadi dasar kerajaan Negeri Sembilan untuk tidak menaikkan kadar bayaran sewa kepada setiap premis di Bazar Melayu Kuala Pilah ini agar tidak membebankan peniaga di situ.
Turut hadir, Dato’ Hj. Ismail Lasim,  ADUN Senaling merangkap Pengerusi JawatanKuasa Bertindak Perpaduan dan Integrasi Nasional, Dato’ Norhayati Omar,  ADUN Pilah merangkap Pengerusi JawatanKuasa Bertindak Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga serta pemimpin parti komponen Barisan Nasional daerah Kuala Pilah.

Thursday, 5 June 2014

MB jadi mentor DPMM Negeri Sembilan




SEREMBAN 05 Jun – Pelantikan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai mentor kepada Dewan Perniagaan Melayu Malaysia cawangan Negeri Sembilan (DPMM NS) dijangka mampu melonjakkan fungsi dan peranan badan itu sebagai payung kepada para usahawan di negeri ini.

Abdul Rahman Yaakub (depan, dua kiri) menyampaikan cenderamata kepada Mohamad Hasan selepas mengadakan pertemuan sewaktu majlis minum petang ahli jawatankuasa DPMM NS bersama Menteri Besar di Seremban, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Yang Dipertua DPMM NS, Abdul Rahman Yaakub berkata, pengalaman luas Mohamad dalam dunia perniagaan sebelum dilantik sebagai Menteri Besar pada 2004 adalah faktor utama mendorong dewan itu memohon supaya beliau menjadi mentor kepada pertubuhan itu.
Beliau berkata, dewan itu percaya ilmu pengetahuan dan pe­ngalaman Mohamad boleh dikongsi bersama ahli-ahli DPMM NS khususnya dan para usahawan di negeri ini amnya dalam menempuh selok-belok dan cabaran dunia keusahawanan yang semakin getir.
“Barisan jawatankuasa dewan ini yang baru dipilih telah menyatakan hasrat kepada Datuk Seri Mohamad supaya beliau menjadi mentor kepada DPMM NS pada majlis minum petang beliau bersama kami di sini baru-baru ini.
“Kami gembira kerana beliau te­lah menyatakan persetujuan terhadap cadangan itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Majlis ramah mesra itu adalah yang pertama antara Menteri Besar dengan ahli jawatankuasa dewan itu yang dipilih pada mesyuarat agung pertubuhan itu pada Mac lalu.
Menurut Abdul Rahman, Mohamad mempunyai pengalaman lebih 25 tahun dalam dunia korporat dan perbankan bermula sebagai pelatih Bank Negara Malaysia pada 1979 dan sejak itu berkhidmat di beberapa buah bank antaranya Malayan Banking Berhad, Public Bank Berhad, Arab Malaysian Merchant Bank dan Pengurus Besar Bank Bumiputera di London.
Tambahnya, Mohamad kemudian dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Cold Storage (M) Berhad pada 1992 hingga 1994 dan Penga­rah Urusan Cycle and Carriage Bintang Berhad pada 1994 hingga Mac 2004 sebelum dilantik sebagai Menteri Besar selepas Pilihan Raya Umum 2004.
“Sejajar dengan pelantikan ini, kami akan mengatur beberapa siri program dengan Mohamad bagi membolehkan beliau bertemu de­ngan lebih dekat dengan para usahawan di negeri ini,” katanya.

Sumber -Utusan.com.my-

Menara MAINS Mercu Tanda Bandar Seremban 2015..


Monday, 2 June 2014

“Umat Islam juga perlu sentiasa memupuk kekuatan perpaduan"


SEREMBAN, 26 Mei – Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan merangkap Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) menyempurnakan Majlis Sambutan Israk Mikraj Peringkat Negeri Sembilan Darul Khusus 1435H/2014M di Masjid Negeri, Seremban.
Pengukuhan akidah membabitkan usaha memperkasa iman dan ketakwaan yang menjadi unsur penting untuk menyusun hubungan dengan Allah serta hubungan sesama manusia perlu untuk menghasilkan tamadun Islam yang berjaya.
“Umat Islam juga perlu sentiasa memupuk kekuatan perpaduan untuk mengekalkan keamanan dan keharmonian sesama saudara dalam menjalin ikatan ukhuwah yang utuh”.
Sementara itu, Majlis Sambutan Israk Mikraj Peringkat Negeri Sembilan ini turut dimeriahkan dengan ceramah yang disampaikan oleh Pensyarah UniSZA, YBhg. Prof. Dr. Ridhuan Tee Bin Abdullah.
Mengikut perspektif Islam, perpaduan terjalin melalui dua ikatan iaitu  perpaduan sesama anggota masyarakat dan perpaduan antara kaum Muslimin. Kebersamaan untuk bersatu hati ini mampu menjadikan Islam sebagai contoh yang baik.
Penghayatan mengenai peristiwa Israk dan Mikraj wajar dijadikan pedoman bagi meyakini kekuasaan Allah SWT yang mengangkat baginda Rasulullah ke Sidratul Muntaha untuk menerima perintah solat lima waktu sehari semalam.
Majlis berakhir dengan sesi penyampaian cenderahati oleh Menteri Besar Negeri Sembilan.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, YB. Dato’ Haji Mat Ali Bin Hassan, Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Sohibus Samahah YB. Dato’ Haji Mohd Yusof Bin Ahmad, Speaker Dewan Undangan Negeri, YB. Dato’ Dr. Awaluddin Bin Said serta barisan Exco Kerajaan Negeri Sembilan.