Tuesday, 28 February 2012

Negeri Roadstone Sdn. Bhd. DiUrus Dengan Cemerlang Dan Untung Setiap Tahun.




SEREMBAN 27 Feb. - Pengurusan syarikat yang baik akan terbukti dengan kemampuan untuk menghasilkan keuntungan pada setiap tahun.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keuntungan yang dicapai itu adalah hasil komitmen yang tinggi di kalangan kakitangan serta kesetiaan dalam sesebuah syarikat itu, selain hubungan baik antara pengurus dengan orang bawahan.

"Kita harus melihat bekerja dalam satu syarikat itu sebagai tanggungjawab bersama dan sebab itu apabila keuntungan diperoleh, hasilnya hendaklah diberikan juga kepada kakitangan," katanya di Klana Resort di sini hari ini.

Mohamad berkata demikian dalam ucapan pada majlis penyerahan bonus dua bulan setengah kepada 51 kakitangan Negeri Roadstone Sdn. Bhd., hasil prestasi cemerlang anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS) itu.

Katanya, pada tahun lalu Negeri Roadstone Sdn. Bhd., yang menjalankan aktiviti perniagaan kuari mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM7.9 juta.

Pada masa sama, Mohamad mengingatkan syarikat berkenaan supaya memberi tumpuan kepada perniagaan asal serta belajar daripada syarikat yang gagal untuk memperbaiki pretasi.

"Saya juga mahu Negeri Roadstone Sdn. Bhd., melakukan kerja khidmat masyarakat. Buat jalan kampung atau betulkan mana-mana jalan yang rosak," katanya.

Pada sidang akhbar selepas itu Mohamad menjelaskan, 51 peratus pegangan saham dalam Negeri Roadstone Sdn. Bhd., dimiliki PKNNS manakala 49 peratus lagi dimiliki pemegang saham lain.

"Ketika ini syarikat telah dikurniakan taraf kontraktor kelas A selain memperoleh pelbagai anugerah dan pengiktirafan," katanya.

RM110j naik taraf jalan raya





SEREMBAN 27 Feb. - Sebanyak RM110 juta bakal dibelanjakan bagi menampung kos pelaksanaan dua projek menaik taraf jalan di sekitar bandar ini yang akan dijalankan bermula awal bulan depan.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Datuk Ir. Dr. Roslan Md. Taha berkata, peruntukkan tersebut membabitkan projek menaik taraf Jalan Seremban-Bandar Sendayan dan pembinaan persimpangan bertingkat Lebuh Raya Kajang Seremban Sdn. Bhd., (Lekas) di sini.

"Bagi kerja menaik taraf Jalan Seremban-Bandar Sendayan sejauh lapan kilometer itu ia melibatkan kos RM20 juta," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabat JKR negeri di sini hari ini.

Jelasnya, pelaksanaan projek tersebut bertujuan melancarkan lagi aliran trafik di kawasan berkenaan berikutan peningkatan jumlah kenderaan dan penduduk di kawasan berhampiran seperti Bandar Enstek dan Bandar Sendayan.

"Projek ini juga bagi memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya dari negeri ini yang semakin gemar menggunakan jalan terbabit sebagai laluan alternatif menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang, Selangor," katanya.

Tambah Roslan, sebanyak RM90 juta pula akan dibelanjakan bagi menampung kos pembinaan persimpangan bertingkat Lekas di sini dalam usaha melancarkan pergerakan trafik keluar dan masuk kenderaan dari lebuh raya berkenaan ke bandar ini.

"Apabila projek ini siap kelak, ia diyakini berupaya mengurangkan kesesakan lalu-lintas di simpang tiga masuk dan keluar dari lebuh raya berkenaan yang menghubungkan bandar ini dan Kuala Pilah terutama menjelang musim cuti dan perayaan," ujarnya.

Roslan memberitahu, peruntukan bagi projek berkenaan telah diluluskan untuk dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) fasa pertama.

Saturday, 25 February 2012

Wednesday, 22 February 2012

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL DITAMAN TUANKU JAAFAR



SAMBUTAN MAULIDUR RASUL DITAMAN TUANKU JAAFAR

BELIA KUASAI MEDIA BARU




SEREMBAN 18 Feb. - Kecanggihan dunia teknologi maklumat dan media baru ketika ini memerlukan golongan belia di negeri ini menguasai bidang berkenaan jika mereka tidak mahu ketinggalan dalam era globalisasi tanpa sempadan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keperluan mereka untuk menguasai bidang itu amat mendesak apatah lagi ketika ini kerajaan sering menekankan aspek pembangunan teknologi maklumat dan media baru di kalangan belia.

''Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), sebanyak 86 rakyat Malaysia berada secara online di media-media sosial seperti Facebook, Twitter, blog dan lain-lain lagi.

''Saya ingin melihat belia-belia di negeri ini mampu menguasai media baru melalui teknologi maklumat kerana ia juga selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan mereka menguasai bidang tersebut," katanya.

BERSAMA SEJAHTERAKAN RAKYAT




BERSAMA SEJAHTERAKAN RAKYAT

Tuesday, 21 February 2012

Loji Tenaga di Perbaharui (Solar Farm) Yg Terbesar DiMalaysia,Terletak di N.Sembilan




NEGERI SEMBLAN PENGELUAR TERBESAR TENAGA SOLAR Di MALAYSIA

Loji Tenaga di Perbaharui (Solar Farm) Yg Terbesar DiMalaysia,Terletak di N.Sembilan


NILAI, 20 Feb. – Negeri Sembilan bakal menjadi pusat penghasilan tenaga solar terbesar negara apabila tapak pelupusan sampah seluas 26 hektar di Pajam, Nilai dibangunkan sebagai kawasan tenaga elektrik berteknologi baru.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata semasa lawatanya semalam, projek berkenaan yang merupakan sebahagian dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP) juga akan memperlihatkan pembangunan loji janakuasa biogas 2-Megawatt (MW), selain kemudahan tenaga solar berkuasa 8-MW.

Projek BMW Solar & 2MW Landfill Gas seluas 26 Hectar (64 ekar) ini bermodal sebanyak 65 Juta dibiayai secara persendirian. Ia bermula pada April 2011 dan dijangka akan mula memasarkan tenaga solar kepada penduduk sekitar pada 28 march 2012.
Pusat Loji Tenaga DiPerbaharui ini Adalah yg terbesar Di Malaysia.

Pusat yang dijangka boleh menjana sebanyak 10 mw  kuasa solar yang boleh menyalurkan kuasa elektrik  kepada 10 ribu buah rumah setelah fasa yang pertama dan fasa kedua dijangka siap sepenuhnya pada bulan March.

Projek perintis yang dijalankan di Pajam ini akan dijadikan pemangkin kepada projek sama di 31 tapak pelupusan sampah lain di negara ini.

Mohamad juga memberitahu, kawasan di Pajam itu akan ditutup sepenuhnya selepas tapak pelupusan baru di Jimah dekat Bukit Nenas, Seremban dibuka sebaik sahaja mendapat kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Katanya, selain Pajam, tapak di Bukit Palong dekat Port Dickson, juga akan ditutup supaya ia dapat diselaraskan di kawasan baru pelupusan sampah di Jimah.

Menteri Besar amat berpuas hati dengan status dan mencapai tahap yang disasarkan mengikut perancangan .









Wednesday, 15 February 2012

Kompleks Majlis Agama Islam Negeri Sembilan





Pembangunan Kompleks MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI SEMBILAN Setinggi 15 tingkat (termasuk 2 tingkat tempat letak kereta dan 1 tingkat podium) akan menempatkan pejabat Baitulmal,Jabatan Mufti,Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan,Pusat Zakat Negeri Sembilan,Mains Holding Sdn. Bhd. dan lain-lain agensi agama yang berkaitan.

Anggaran kos projek ialah RM52 Jutamelalui pembiayaan dari Bank Islam Malaysia Berhad dan dari Dana Sumber Am Majlis Agama Islam Negeri Sembilan.

Projek ini telah bermula pada Februari 2012 dan dijangka siap pada Ogos 2014.

Sunday, 5 February 2012

Masaalah Banjir Perlu Kerjasama Semua Pihak.




 Masalah banjir kilat di Temiang dan Sikamat dekat sini mampu diatasi sekiranya pemimpin setempat dapat menyakinkan penduduk merobohkan binaan yang dibuat di tebing sungai.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, langkah itu penting bagi membolehkan jentera berat dibawa masuk untuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan sungai yang dapat menghalang banjir.

Beliau berkata, beberapa percubaan telah dibuat sebelum ini bagi membawa masuk jentera tersebut tetapi gagal berikutan binaan yang terlalu rapat di tebing sungai.


"Masalah bertambah teruk apabila ada dalang daripada parti pembangkang yang cuba menjadi hero sehingga penduduk enggan membenarkan jentera masuk untuk membuat penyelenggaraan," katanya kepada para pemberita selepas melawat Kampung Baru Sikamat dekat sini hari ini.

Sebanyak 18 rumah di kampung berkenaan dilanda banjir kilat selepas hujan lebat pada kira-kira pukul 5 petang semalam.

Dalam kejadian itu, rumah penduduk dinaiki air sehingga paras 0.9 meter sebelum air surut kira-kira 90 minit kemudian.

Banjir kilat turut melanda beberapa kawasan di pusat bandar itu.

Mohamad berkata, banjir kilat itu melanda akibat jumlah air hujan yang tinggi selain keadaan Sungai Temiang yang melalui kampung berkenaan yang agak sempit dan tidak mampu menampung jumlah air yang banyak.

Menurutnya, kerajaan sudah bersiap sedia melaksanakan kerja penyelenggaraan sungai di situ dengan segera sekiranya penduduk bekerjasama merobohkan binaan di tebing sungai.

"Saya juga meminta penduduk tidak membuang sampah ke dalam sungai kerana ia juga adalah punca banjir kilat," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Kampung Baru Sikamat, Wong Phui Kan berkata, beliau akan berunding dengan penduduk kampung itu supaya bersetuju dengan permintaan pihak berkuasa merobohkan binaan di tebing sungai.

"Masalah ini sudah lama berlaku dan saya harap kali ini penduduk akan bersetuju dengan permintaan supaya binaan tersebut dirobohkan," katanya.

Thursday, 2 February 2012

KERAJAAN NEGERI KOMITED PERANGI JUDI HARAM.

Judi siber 'pengancam' yang perlu dihapuskan



 Judi siber kini menjadi ancaman besar kepada kesejahteraan rakyat di negeri ini, malahan dianggap sebagai krisis yang perlu dibanteras dalam apa cara sekali pun.

Ini kerana ia telah banyak membawa kehancuran rumah tangga, hilang tanggungjawab kepada anak, kelalaian di tempat kerja dan paling teruk lagi terjerumus kepada jenayah lain.

Hal ini telah menyebabkan kerajaan negeri bertindak mewujudkan Pasukan Pengurusan Krisis bagi menangani serangan judi siber, yang didalangi sindiket antarabangsa dengan menempatkan semua agensi bertanggungjawab dalam operasi bersepadu dan gerak kerjanya.

Dalam laporan Ibu Pejabat Polis Kontingen negeri sahaja pada Januari sehingga Disember 2011, sebanyak 662 serbuan dibuat dan daripada jumlah itu bilangan yang berjaya ialah 528 serbuan.

Sebanyak 538 tangkapan telah dibuat dalam tempoh tersebut dan 528 premis didapati mempunyai operasi judi siber, malahan 5,955 komputer telah dirampas.


Pada 1 hingga 28 Januari lalu sahaja, polis telah membuat 19 serbuan dan menahan tujuh orang dengan 285 komputer dirampas.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, orang ramai harus sedar kerajaan sentiasa mengambil tindakan terhadap operasi judi siber ini dan adalah tidak benar kerajaan melepas tangan dalam isu berkenaan.

''Jumlah dinyatakan ini hanya laporan pihak polis. Ini tidak termasuk tindakan yang telah dibuat oleh pihak berkuasa tempatan dan agensi penguat kuasa lain.

''Kita sedang berhadapan satu sindiket antarabangsa dan kaya, di mana servernya bukan di negara ini, sebaliknya di luar negara," tegas selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Hari ini, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) juga telah diarah untuk membuat serbuan dan menahan orang Islam yang berada dalam permis judi siber ini.

Jelas, tindakan lebih tegas wajar dilakukan termasuklah serbu dan terus tahan mereka yang bertanggungjawab selain memotong bekalan elektrik dan air di premis yang disalahgunakan bagi tujuan perjudian ini.


Kata Mohamad lagi, pada tahun lalu sahaja seramai 20,000 orang memohon bantuan daripada Baitulmal berbanding hanya 11,000 orang pada tahun sebelumnya.

Antara permasalahan yang dibangkitkan oleh isteri dan anak- anak ialah kesempitan kewangan akibat suami terlibat dengan fenomena perjudian siber.

Jadi, jangan kata kerajaan tidak banteras sebaliknya tanya diri sendiri mengapa kita menyokong perjudian siber. Ayuh kita banteras dengan kempen 'hapuskan judi siber'.