Friday, 19 October 2012

Fasa kedua Dasar Pencahayaan menerima peruntukan tambahan RM2.192j



Seremban, 08 Okt – Sidang dewan Persidangan Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri yang ke-12 menyokong penuh cadangan peruntukan tambahan fasa kedua dasar pencahayaan sebanyak RM2.192 juta.
Cadangan usul ini dibentangkan oleh Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap ADUN Kawasan Rantau.
Peruntukan tambahan diperlukan bagi penambahaan lampu jalan negeri melibatkan daerah Tampin, Seremban dan Jelebu.
Sebelum ini, peruntukan hanyak melibatkan  sepuluh lampu di sesuatu kawasan, tetapi bagi menambah baik ciri-ciri keselamatam lampu akan ditambah kepada tiga puluh tiang lampu.
Dato’ Razak Mansor. Yang diPertua Dewan Undangan Negeri membuka usul  ini untuk dibahaskan dan antara wakil rakyat membahaskan usul ini ialah, ADUN Kawasan Lobak, Loke Siew Fook, ADUN Kawasan Rahang, Arumugum Karuppan, ADUN Kawasan Senawang, Gunasekaren Palasamy dan ADUN Kawasan Bukit Kepayang, Cha Kee Chin.
Di dalam ucapan balas, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, menjelaskan bahawa Dasar Pencahayaan telah dimulakan tahun lalu dan mahu diselesaikan di dalam tempoh dua ke tiga tahun.
Melalui sesi mendengar yang dibuat sejak tahun lalu, kerajaan telah menyusun kemahuan rakyat mengikut keutamaan dan di dapati kebanyakannya melibatkan lampu jalan.
Beliau turut menjawab bahawa peruntukan tambahan yang diusulkan tidak ada kena mengena dengan PRU13 yang akan diadakan pada bila-bila masa.
Kerajaan Negeri mengutamakan permohonan yang mendesak dan ianya perlu disegerakan. Walaupun ianya tidak termasuk di dalam belanjawan yang dibentangkan April lalu, tetapi ianya dilakukan untuk kesejahteraan rakyat.
Kekeliruan yang disuarakan oleh ADUN Kawasan Lobak, Look Siew Fook yang menyatakan rakyat keliru kerana terdapat tiga agensi yang bertanggungjawab menangani isu ini.
Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan menjelaskan, tidak perlu keliru kerana peranan yang di mainkan oleh agensi berwajib setakat ini iaitu TNB, JKR dan PBT  memuaskan.
Malah di kawasan luar bandar dan desa pula, lampu jalan ini diselenggarakan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar.
Kerajaan Negeri mahu memastikan isu pencahayaan ini selesai sepenuhnya dalam tahun 2013.
Beliau turut menjelaskan, taman perumahan tidak termasuk di dalam belanjawan negeri, namun peruntukan Dasar Pencahayaan adalah melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Dasar Pencahayaan ini juga antara lain adalah meningkatkan keselamatan dan mengurangkan kadar jenayah.
Peruntukan ini melibatkan pemasangan lampu jalan termasuk pemasangan kotak meter.
Fasa pertama telah dilaksanakan pada tahun lalu di kawasan strategik dan merbahaya kepada orang awam.
Di samping itu, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan turut mencadangkan pembangunan Dasar Teknologi Hijau Negara, sumber diperbaharui dan penggunaan tenaga solar diguna pakai untuk mengurangkan kebergantungan sumber elektrik. Dengan kaedah tenaga solar, ianya dapat menampung kos elektrik yang kian meningkat.

‘1Bahasa 1Bangsa 1Negara’ , tema Bulan Bahasa Kebangsaan 2012


NILAI, 10 Okt. – YAB Dato’ Seri Utama Tan Sri Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia, merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2012, Peringkat Kebangsaan di Stadium Tertutup Nilai, petang tadi.
Tema  ‘1Bahasa 1Bangsa 1Negara’ telah dipilih sebagai tema Bulan Bahasa Kebangsaan tahun ini berkaitan secara langsung dengan Dasar Bahasa Kebangsaan yang membentuk satu bangsa, yang mana Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan keturunan.
Dalam ucapan  Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad bin Hj Hasan, bahasa kebangsaan merupakan budaya kita. Perlembagaan telah menyatakan teras untuk menyatupadukan antara kaum di Malaysia adalah melalui bahasa.
“Kita memerlukan landasan untuk menyatupadukan sebuah negara yang baru merdeka. Usaha Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk menghidupkan bahasa kita sebagai asas perpaduan perlu disokong oleh semua lapisan masyarakat,” tambah beliau lagi.
Menteri Besar menegaskan bahawa bahasa adalah budaya. Peliharalah budaya ini agar kita dapat menangani cabaran globalisasi yang semakin mencabar. Segala usaha DBP untuk memartabatkan bahasa kebangsaan akan disokong sepenuhnya di negeri ini.
Timbalan Perdana Menteri dalam ucapan perasmiannya turut menegaskan bahawa tema Bulan Bahasa Kebangsaan 2012 ini bertepatan dengan usaha kerajaan menyeru warga Malaysia untuk menghargai bahasa kebangsaan sebagai tonggak tamadun negara dan budaya kita.



“Penggunaan Bahasa Melayu umum atau lingua franca juga perlu diberi penekanan yang sama supaya bahasa itu benar-benar dapat menjadi tali pengikat semua rakyat berbilang kaum,” kata beliau.
“Kita perlu memartabatkan bahasa kebangsaan secara menyeluruh, selain memartabatkan di peringkat kebangsaan,”ujar beliau.
Tambah beliau, “Kerajaan juga sentiasa menyokong penggunaan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa demi menjayakan matlamat Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan.”
Dalam dunia globalisasi kini, Timbalan Perdana Menteri juga mengharapkan semua pihak mengambil inisiatif untuk terus memartabatkan bahasa kebangsaan kita.
Penggunaan bahasa ‘rojak’ yang sering kali digunakan perlulah dibendung agar kekuatan Bahasa Melayu dapat terus dipertahankan.
Dato’ Seri Utama Hj Mohamad bin Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan, mengiringi Dato’ Seri Utama Tan Sri Hj Muhyidin bin Hj Mohd Yassin,Timbalan Perdana Menteri  melepaskan Konvoi Kembara Bahasa sebagai gimik pelancaran perasmian Bulan Bahasa Kebangsaan.
Turut hadir, Dato’ Abdul Razak Mansor, YDP Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan, Datuk Wira Hj Othman bin Mohamad, YDP Dewan Undangan Negeri, Melaka, Dato’ Hj Mat Ali bin Hasan, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dr. Awang bin Sariyan, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka.

Isu permasalahan rakyat agenda tepat untuk ditangani

 Isu permasalahan rakyat agenda tepat untuk ditangani




Thursday, 18 October 2012

Dewan Orang Ramai Sikamat


SIKAMAT, 19  Julai – Majlis pecah tanah Dewan Orang Ramai yang telah disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan  di Taman Perwira menandakan bermulanya satu projek pembangunan yang bakal memberi kemudahan kepada penduduk di sekitarnya.
Kata Menteri Besar, ini merupakan komitmen yang dilakukan oleh kerajaan dalam memenuhi keperluan penduduk dan membuktikan bahawa kerajaaan yang dipimpin oleh Barisan Nasional akan kotakan janji.
“Oleh kerana kepadatan penduduk di segenap kawasan ini dan setelah mendapati tiada kemudahan untuk orang ramai, maka kerajaan negeri telah mempertimbangkan permohonan penduduk untuk membina sebuah dewan orang ramai,” kata beliau.
Menurut beliau, projek yang berkeluasan 70 x 120 kaki persegi ini akan memuatkan seramai lebih kurang 800 orang, sebuah pentas, pejabat, bilik mesyuarat, bilik persalinan, bilik stor dan tempat letak kereta yang menelan belanja sebanyak RM1.6 Juta.
“Pelbagai aktiviti upacara boleh diadakan di Dewan itu seperti majlis perkahwinan, program kemasyarakatan, acara kesukanan dan riadah,” jelas beliau ketika berucap dalam Majlis Pecah Tanah Pembinaan Dewan Orang Ramai Taman Perwira di tapak pembinaan Dewan Taman Perwira, di sini, hari ini.
Dalam masa yang sama, rakyat diingatkan supaya menggunakan dan menjaga kemudahan ini dengan sebaik mungkin walaupun dewan ini akan diselenggarakan oleh MPS mahupun MPN.
Dalam majlis tersebut, Menteri Besar turut meluangkan masa bersama rakyat menjamu minum petang.
Selain itu, beliau turut menyampaikan hadiah pertandingan sukaneka yang diadakan pagi tadi dan menyampaikan sumbangan kepada golongan yang kurang berkemampuan.
Disamping itu, beliau juga telah menyampaikan alatan sukan kepada badan-badan NGO belia dan sukan.
Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seremban dan Nilai, Dato’ Haji Abd. Halim Bin Haji Abd. Latif, Ahli Dewan Negara, Senator Dato’ Mohammed Najeeb Bin Abdullah, EXCO Bertindak Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kampung Baru dan Pengangkutan Awam, Dato’ Siow Chen Pin dan EXCO Bertindak Pelancongan, Perpaduan,Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu, Dato’ Haji Mohammad Razi Bin Haji Kail.

Dewan Orang Ramai Taman Tasik Jaya


SENAWANG, 06 Julai – Kerajaan Negeri membuktikan bahawa janji yang dikota selama ini akan terlaksana tidak lama lagi dengan terbinanya sebuah Dewan Orang Ramai pada Januari 2013 kelak.
Kata Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan, dewan ini merupakan salah satu kemudahan yang dinanti-nantikan oleh penduduk di Paroi, Flat Seroja, Kampung Sentosa, Taman Tasik Jaya dan di kawasan sekitarnya.
“Oleh kerana kepadatan penduduk di segenap kawasan ini dan setelah mendapati tiada kemudahan untuk orang ramai, maka kerajaan negeri telah mempertimbangkan permohonan penduduk untuk membina sebuah dewan orang ramai,” ujar beliau.
Menurut beliau, projek yang berkeluasan 80 x 120 kaki persegi ini akan menempatkan sebanyak 70 lot tempat letak kereta, sebuah pentas dan sebuah gelanggang futsal di atas tapak yang sama.
“Projek yang menelan belanja RM1.8 juta ini boleh memuatkan seramai lebih kurang 1000 orang dan pelbagai aktiviti upacara boleh dijalankan seperti majlis perkahwinan, program kemasyarakatan, acara kesukanan dan riadah,” jelas beliau ketika berucap dalam Majlis Pecah Tanah Pembinaan Dewan Orang Ramai Taman Tasik Jaya di tapak pembinaan Dewan Taman Tasik Jaya, di sini, hari ini.
Beliau berharap agar kontraktor yang dipilih untuk menjalankan kerja-kerja pembinaan dewan ini dapat mematuhi  tempoh yang telah ditetapkan iaitu selama enam bulan mulai esok.
Dalam majlis tersebut, Menteri Besar turut menyampaikan alatan sukan kepada badan-badan NGO belia dan sukan.
Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seremban dan Nilai, Dato’ Haji Abd. Halim Bin Haji Abd. Latif, Ahli Dewan Negara, Senator Dato’ Mohammed Najeeb Bin Abdullah, dan Ahli Parlimen Rembau, Tuan Haji Khairy Jamaluddin Bin Abu Bakar.

Laporan Audit Buktikan Kerajaan Mantap


Laporan Audit bagi tahun 2011 yang baru dibentangkan hari ini secara umumnya mendapat respon positif dari berbagai pihak. Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang membentangkan kutipan hasil kerajaan persekutuan sebanyak RM185.42 billion iaitu peningkatan sebanyak RM25.77 billion atau 16% berbanding 2010.

Kutipan LHDN juga meningkat sebanyak 26.7% dari tahun 2010, menjadikan jumlah hasil direkodkan pada RM109.61. Laporan juga menunjukkan prestasi Cawangan LHDNM untuk aktiviti audit bagi individu berpendapatan perniagaan adalah baik memandangkan 12 (70.6%) daripada 17 cawangan telah dapat mencapai/melebihi sasaran fail yang ditetapkan iaitu menepati Key Performance Indicators (KPI) yang ditetapkan.

Secara purata, semua jabatan dan kementerian kerajaan menunjukkan pkatan dari segi hasil dan juga prestasi. Ini termasuklah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang berjaya mengutip duti import berjumlah RM8.704 bilion iaitu kutipan yang tertinggi dalam tempoh 5 tahun sejak tahun 2007 yang berjumlah RM5.965 bilion.

Daripada 456 Penyata Kewangan tahun 2011 terhadap kerajaan dan agensi dibawahnya yang diaudit, sebanyak 388 daripadanya telah diberikan Sijil Audit Tanpa Teguran dan hanya 25 penyata kewangan menerima Sijil Audit Berteguran kerana terdapat beberapa piawaian perakaunan yang tidak dipatuhi sepenuhnya. Manakala, baki 43 penyata kewangan lagi masih dalam proses pengauditan.

Berbanding 2010, sebanyak 368 penyata kewangan telah diberikan Sijil Audit Tanpa Teguran dan 33 penyata kewangan diberi Sijil Audit Berteguran.

Peningkatan yang direkodkan secara tidak langsung membuktikan yang program transformasi yang dilaksanakan telah menunjukkan hasil yang memuaskan.

Dengan pembentangan Bajet yang mendapat sambutan yang begitu baik dari rakyat, laporan audit ini dijangka memberi impak positif yang berganda dari segi politik kepada parti memerintah. Apatah lagi dengan pembentangan Bajet alternatif oleh pembangkang yang penuh dengan kelemahan, sokongan rakyat kepada parti memerintah dijangka meningkat dengan drastik, terutama dengan sokongan dari golongan peniaga.
Secara dasarnya, rakyat semakin yakin dengan parti memerintah, maka walaupun berpendirian atas pagar, mereka tidak akan sesekali memperjudikan masa depan dengan memilih sesuatu yang tidak pasti.