Powered By Blogger

Monday 10 February 2014

Kerajaan Negeri Sembilan Melepasi Sasaran Pelaburan RM1 Bilion


SEREMBAN 07 Feb. – Kerajaan Negeri Sembilan telah melepasi indikator pelaburan baharu RM1 bilion melalui sektor perkilangan dalam tempoh hanya sebulan tahun ini, walaupun nilai itu adalah petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan untuk perolehan dalam setahun.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkembangan itu amat membanggakan, sekali gus meyakini pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada kadar 5 peratus yang ditetapkan setiap tahun akan dapat dicapai sekali lagi pada tahun ini.
“Pada tahun sebelumnya, pelaburan baharu adalah RM1.3 bilion dan tahun 2012, adalah sebanyak RM7 bilion. Pada pendapat saya tahun ini adalah lebih baik walaupun ekonomi dunia tidak menentu dan kita berada dalam landasan betul menuju negeri maju 2020.
“Setakat bulan Januari tahun ini, pelaburan baharu yang diterima sudah pun melebihi RM1 bilion,” katanya.
Mohamad bercakap kepada pemberita selepas merasmikan sesi ‘brainstorming’ meja bulat pentadbiran kerajaan negeri di Klana Resort, di sini hari ini. Yang turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Dr. Awaludin Said dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mat Ali Hassan.
Kata Mohamad, dalam tempoh berbaki 11 bulan pada tahun ini, kerajaan negeri menjangkakan iklim pelaburan adalah baik dan kestabilan politik serta keupayaan dalam kecekapan pentadbiran akan menarik lebih banyak lagi peminat industri sama ada di dalam dan luar negara melabur ke negeri ini.
“Dalam keadaan sekarang, syarikat pelaburan teknologi tinggi dari United Kingdom bersedia melabur RM485 juta di Sendayan, begitu juga syarikat teknologi penerbangan dari Perancis yang telah melabur sebelum ini akan menambah pelaburan baharu bernilai RM750 juta.
“Manakala sebuah syarikat pengeluar makanan dari Amerika Syarikat (AS) telah pun melabur sebanyak lebih RM400 juta. Kita juga sedang menerima pelaburan baharu dari negara-negara Asia lain,” kata beliau.
Antara pelabur yang datang ke negeri ini adalah dari AS, United Kingdom, Jepun, Jerman, Australia, Korea, India, Singapura, Denmark, Indonesia, Taiwan, Switzerland, Belanda, Sweden dan Armenia, Lokasi tumpuan adalah di Senawang, Sendayan dan sekitar Nilai.

No comments:

Post a Comment