Powered By Blogger

Thursday 11 July 2013

Pelajar Timur Tengah Menyesuaikan Diri Dengan Latihan Insentif


Seremban, 09 Julai – Penyampaian ini disempurnakan oleh Menteri Besar merangkap Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan di Majlis Penutupan Program Intensif Timur Tengah 2013 & Penyampaian Dermasiswa Pelajar SMAN & SABK Negeri Sembilan Tahun 2013 berlangsung di Klana Resort, Seremban.

 Seramai enam (6) orang pelajar Diploma Pengajian Islam (Qiraat) Universiti Al-Azhar, Mesir, tigabelas (13) orang pelajar STAM Pengajian Islam ke Universiti Al-Azhar, Mesir, sebelas (11) orang pelajar bidang perubatan di Mesir, dua (2) orang pelajar dalam bidang pergigian di Mesir, lima (5) orang pelajar Pengajian Islam di Jordan dan empat (4) orang pelajar Pengajian Islam di Maghribi menerima dermasiswa dan pinjaman untuk melanjutkan pelajaran masing-masing.

Semua pelajar terpilih telah mengikuti Program Intensif Timur Tengah (PITT) 2013 selama sebulan di Pusat Dakwah Islamiyyah, Paroi sebelum melanjutkan pelajaran mereka ke Timur Tengah.

Menteri Besar di dalam ucapannya menyatakan bahawa latihan intensif ini merupakan persediaan awal dan rapi di peringkat MAINS bagi melengkapkan diri mereka di pusat pengajian masing-masing.

Beliau turut menasihatkan para pelajar yang terpilih oleh MAINS ini supaya fokus di dalam pelajaran dan meletakkan satu matlamat untuk berjaya di dalam bidang masing-masing kerana  ilmu yang dipelajari di sana amat bermanfaat di tambah pula sebagai sumber rujukan di kemudian hari.

Jelasnya lagi, dengan sistem pendidikan yang pelbagai dari negara Mesir, Morocco dan Maghribi, pelajar seharusnya meningkatkan disiplin diri dan tidak terikut dengan gaya hidup sesetengah fahaman di sana yang akhirnya merugikan diri sendiri.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan, Dato’ Dr. Awaluddin Hj Said, Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Dato’ Hj Mohd Yusof Hj Ahmad, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Kahar Sudin, Dato’ Johani Hj Hasan, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sembilan.

No comments:

Post a Comment