Friday, 5 December 2014

Akidah Ini Adalah Perkara Penting




SEREMBAN, 04 Dis – Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) akan mendukung tujuh resolusi yang dibentangkan melalui Konvensyen Akidah Antarabangsa 2014 yang telah diadakan bagi memperkukuhkan institusi Islam.

Pengerusinya, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan selaku Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, tujuh resolusi utama yang dibentangkan hasil konvensyen akidah ini, akan menjadi teras utama pihak Majlis Agama Islam Negeri Sembilan untuk terus memperkukuh dan memantapkan akidah umat Islam di negeri ini.

Resolusi yang dibentangkan oleh Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, YB Sohibus Samahah Dato’ Mohd Yusof Ahmad, antaranya membentangkan tentang akidah umat Islam adalah akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berpandukan mazhab syafi’e selain menjamin keselamatan dan kestabilan negara.

Menurut YAB Menteri Besar, akidah suatu perkara penting dalam kehidupan Islam dan jika akidah tidak kuat, ianya jadi bermasalah dan bercelaru disebabkan kekeliruan agama yang boleh mengakibatkan perpecahan dalam agama bahkan melemahkan Islam itu sendiri.

Tambah beliau, melalui konvensyen sebegini juga, akan dapat melahirkan pakar-pakar ilmuan Islam yang mampu memperkukuhkan akidah umat Islam khususnya Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Akidah ini adalah suatu perkara penting, dan jika tidak kuat maka akan terjadilah kehancuran dalam Islam,” katanya sewaktu berucap merasmikan majlis penutup Konvensyen Akidah Antarabangsa 2014, di Auditorium Kebudayaan Negeri Sembilan.

Sementara itu, Konvensyen Akidah Antarabangsa dan Himpunan Daei yang dianjurkan melalui kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Jabatan Mufti Negeri Sembilan dan Kumpulan Pendidikan As Sofa, merupakan pendekatan kepada umum mengenai asas ilmu akidah Islam yang kukuh melalui pembentangan kertas kerja hadith-hadith.

Konvensyen itu juga, turut menghidupkan semula tradisi keilmuan Islam yang diwarisi daripada zaman baginda Rasulullah, disamping membentuk keterampilan dan kekuatan ilmiah, sikap wasatiyyah serta mengelakkan sikap ekstrimisme dan kejumudan yang terbit daripada kepincangan dalam memahami agama.

Turut hadir, Ketua Hakim Syari’e Negeri Sembilan, Yang Amat Arif Dato Mohd Syukor Shabudin, Pengerusi Jawatankuasa Akidah Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, YBhg. Dato’ Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Tuan Selamat Paigo dan Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Tuan Kamal Amran Kamarudin.

No comments:

Post a Comment