Powered By Blogger

Friday 5 December 2014

Pembukaan Kawasan Tadahan Air




PORT DICKSON, 2 Dis – Kerajaan Negeri Sembilan akan mengkaji setiap pembukaan kawasan tadahan air di seluruh kawasan hutan simpan kekal di negeri ini, mendapat persetujuan dalam Dewan Undangan Negeri mahupun Mesyuarat Exco Negeri, bagi memastikan alam sekitar terus terpelihara.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan berkata, bagi mencapai usaha kerajaan yang ingin melihat Hutan Simpan Kekal, terus terpelihara sebagai khazanah negara yang berharga bagi dinikmati generasi masa hadapan, perhatian terhadap isu hutan perlu diambil kira dalam memperkasakan sektor perhutanan.

“Bagi Kerajaan Negeri Sembilan, sebarang pembukaan kawasan tadahan air di hutan tidak boleh dilakukan sewenangnya dan ianya perlu mendapat kelulusan dalam Dewan Undangan Negeri,” jelasnya ketika berucap merasmikan Persidangan Pengarah-Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia kali ke-34, di Hotel Grand Lexis.

Menurut beliau, Negeri Sembilan bersedia untuk bersama pihak Jabatan Perhutanan dalam isu memelihara hutan demi melihat masa depan alam sekitar negara terus terjamin.

Sementara itu, Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Dato’ Sri Dr. Abd Rahman Abd Rahim menjelaskan, persidangan kali ini lebih fokus untuk membincang, meneliti dan membuat keputusan dasar bagi pelbagai isu berkaitan perhutanan demi memperkasakan amalan penguruan dan pembangunan hutan.

“Saya amat yakin melalui persidangan ini, akan dapat mencapai hasrat kerajaan seterusnya menyampaikan mesej bahawa Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia begitu komited dalam memastikan hutan negara dimanfaatkan oleh generasi hari ini dan akan datang,” jelasnya.

Dalam majlis yang sama, YAB Menteri Besar turut berharap agar Majlis Perhutanan Negara dihidupkan semula dan menjadikannya sebagai pusat utama perihal hutan dan punca kuasa pembangunan hutan, untuk mencapai aspirasi pemantapan, perlaksanaan, pengurusan dan pembangunan hutan yang lebih cekap dan berkesan menjelang tahun 2020.

No comments:

Post a Comment