Powered By Blogger

Friday 5 December 2014

Sambutan Hari Orang Kurang Upaya Peringkat Kebangsaan 2014




SEREMBAN – Perkembangan globalisasi semasa menyaksikan perubahan berlaku sangat pantas dan memberi kesan secara tidak langsung terhadap isu-isu berkaitan Orang Kurang Upaya (OKU), yang mengalami anjakan paradigma daripada pendekatan berasaskan kebajikan kepada pendekatan berasaskan hak.

Justeru, bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang potensi dan nilai diri OKU serta penghormatan kepada mereka yang turut berjasa kepada pembangunan negara, penghargaan dan pengiktirafan kerajaan kepada golongan OKU ini ditafsirkan melalui Sambutan Hari Orang Kurang Upaya Peringkat Kebangsaan 2014, yang telah diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS).

Sambutan yang diadakan buat kali ke-21 itu, merangkumi aspek untuk mengetengahkan usaha kerajaan dalam memenuhi hak dan keperluan OKU, agar menjadi pemangkin dan faktor perangsang kepada semua pihak untuk lebih prihatin serta peka dengan keperluan OKU, selain membolehkan OKU bergembira bersama keluarga dan masyarakat dalam sebarang aktiviti yang dianjurkan.

Apa yang menarik, DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni al-Marhum Tuanku Munawir, turut perkenan mencemar duli berangkat ke majlis sambutan itu, untuk bersama-sama rakyat meraikan golongan istimewa dalam masyarakat ini dan menyempurnakan perasmian Sambutan Hari Orang Kurang Upaya.

Turut sama mencemar duli, DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aisyah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Mengiringi baginda, Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan dan isteri, YM Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumuddin, Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Sembilan, YB Dato’ Dr. Awaluddin Said, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Senator Datin Paduka Chew Mei Fun, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, YB Dato’ Mat Ali Hassan, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, YB Dato’ Norhayati Omar serta Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sabariah Hassan.

Seiring dengan tema sambutan, ‘Pembangunan Lestari, Aksesibiliti Diutamakan’ menjadi fokus kerajaan untuk sentiasa komited dalam usaha meningkatkan kesejahteraan OKU berteraskan falsafah bahawa golongan ini juga mempunyai hak yang sama dengan orang lain.

Oleh itu, bagi merealisasikan hasrat dan aspirasi tersebut, setiap rakyat di negara ini harus memberi peluang yang sewajarnya untuk golongan OKU ini, bagi mereka merealisasikan potensi diri mereka ke tahap paling optimum, untuk membina masyarakat yang progresif, inklusif dan penyayang.

No comments:

Post a Comment