Tuesday, 31 January 2012

Pemimpin bersama rakyat warga emas dan penyampaian baucer BR1M



 


MENTERI BESAR MENINJAU KERJA PEMBINAAN MASJID RANTAU



PENGHUJUNG APRIL 2012 PENDUDUK RANTAU DAN SEKITAR AKAN DAPAT MENIKMATI KEMUDAHAN INFRA MASJID YG MAMPU MENAMPUNG 1500 JEMAAH DLM SATU SATU MASA,DIATAS KAWASAN 2.5 HEKTAR TAMAN EKAR RANTAU YG MENELAN BELANJA RM 12 JUTA.

LEBIH MENARIK MASJID YG MULA DIBINA OGOS 2010 DILENGKAPI DGN BERBAGAI PRASARANA DAN INSFRASTRUKTUR SEPERTI KEDIAMAN KAKITANGAN JAWATANKUASA MASJID TERDIRI DRPD EKSEKUTIF MASJID DAN NAZIR,PEJABAT IT DAN PENGURUSAN,KLINIK WAQAF AN-NUR,KEDAI WAQAF MART.

MASJID INI JUGA DILENGKAPI DGN DEWAN ORG RAMAI BERKAPASITI 500 ORG,DEWAN MAKAN YG DILENGKAPI RUANG PENYEDIAAN MAKANAN DAN RUANG SOLAT BERHAWA DINGIN.

REKABENTUK MASJID INI DIADAPTASI DR SPAIN,TURKI,MESIR DAN MADINAH INI AKAN MENJALANKAN KELAS TUISYEN DAN PELBAGAI AKTIVITI YG AKAN DIJALANKAN KELAK SEKALIGUS MENEPATI KONSEP MASJID SEBAGAI PUSAT KOMUNITI MASYARAKAT DLM MENYEBARKAN SYIAR ISLAM.

Sunday, 29 January 2012

MAINS catat kutipan zakat RM51j



Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) melalui Pusat Zakat Negeri Sembilan (PZNS) mencatatkan kutipan zakat mencecah RM51 juta sepanjang tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, jumlah tersebut meliputi kutipan pelbagai jenis zakat yang diterima daripada individu termasuk badan korporat untuk diagihkan kepada golongan susah di negeri ini.

''Namun jumlah keseluruhan agihan mencapai RM53 juta lebih daripada jumlah yang kita kutip tahun ini. Jumlah tersebut merupakan lebihan wang zakat bagi tahun lalu.

''Wang zakat ini kita perlu agihkan sebaik mungkin kerana ia tidak boleh disimpan dan merupakan hak golongan asnaf," 

Mohamad yang juga Menteri Besar berkata, secara purata, hampir RM5.3 juta zakat diagihkan kepada penerima yang layak di seluruh negeri ini.

''Setakat ini, seramai 5,000 golongan asnaf telah menerima agihan wang zakat ini. Manakala 12,000 penerima berkala menerima bantuan zakat daripada Baitulmal," ujarnya
.
Jelas Mohamad, jumlah kutipan zakat di negeri ini amat memberangsangkan kerana nilainya bertambah setiap tahun.
''Salah satu kunci kejayaan ini adalah disebabkan kita berjaya menguruskan wang zakat ini dengan baik.
Orang ramai tahu kita lakukan dengan telus, sebab itu semakin bertambah orang membayar zakat di negeri ini.


''Kejayaan untuk menguruskan wang zakat ini dengan baik juga secara tidak langsung menyaksikan MAINS menerima penarafan empat bintang daripada Ketua Audit Negara," katanya.

Jadikan Panduan Setiap Teguran Dalam Laporan Ketua Audit Negara

Jadikan Panduan Setiap Teguran Dalam Laporan Ketua Audit Negara

Penyampaian Baucer BR1M N9

Saturday, 28 January 2012

Tuanku Muhriz berkenan rasmi Wisma Audit NS




 26 Jan. - Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir hari ini berkenan merasmikan Wisma Audit Negeri Sembilan di Pusat Komersial Oakland, Seremban 2 dekat sini.

Baginda turut diiringi Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud.
Ketibaan Tuanku Muhriz kira-kira pukul 11.30 pagi di pekarangan wisma berkenaan disambut oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri, Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin serta Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.

Hadir sama Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Dohak; Undang Luak Jelebu, Datuk Musa Wahab; Undang Luak Johol, Datuk Mohd. Jan Abdul Ghani; Undang Luak Rembau, Datuk Muhamad Sharip Othman dan Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri.

Majlis berkenaan turut dihadiri Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Razak Mansor dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hassan.

Sementara itu, Ambrin dalam ucapan ringkasnya berkata, wisma yang siap dibina pada Mac tahun lalu dan mula beroperasi pada April 2011 merupakan bangunan yang keempat dimiliki oleh Jabatan Audit Negara sejak ditubuhkan hampir 105 tahun lalu.

"Diharapkan melalui pembinaan bangunan yang menelan belanja hampir RM13.6 juta ini, warga kerja dapat memanfaatkannya sebaik mungkin sekali gus meningkatkan tahap kerja dan kecekapan sistem penyampaian terhadap sektor awam," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad ketika berucap memberitahu, kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Jabatan Audit Negara amat penting dalam usaha memastikan aspek pengurusan kewangan jabatan dan agensi kerajaan sentiasa berada pada tahap yang baik dan terkawal.

"Dengan adanya wisma yang serba lengkap termasuk kemudahan komprehensif, diharapkan ia dapat meningkatkan lagi prestasi serta kualiti kerja seluruh warga jabatan audit negeri ini dalam menghasilkan laporan berkualiti.

"Keupayaan ini sekali gus dapat membantu kami mempertingkatkan kecemerlangan pentadbiran dan pengurusan kewangan kerajaan negeri" ujarnya.

Friday, 27 January 2012

NS setuju jual air kepada Selangor



 Kerajaan negeri bersetuju menjual air terawat kepada Selangor bagi mengatasi kemelut bekalan air yang bakal dihadapi oleh negeri jiran itu menjelang 2014.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah memohon supaya kerajaan negeri mempertimbangkan perkara tersebut selepas wujudnya kekurangan bekalan air terawat di beberapa kawasan di Selangor yang bersempadan dengan Negeri Sembilan.

Katanya, ketika ini, SPAN telah memohon supaya kerajaan negeri menyalurkan bekalan air sebanyak 45juta hingga 70 juta liter sehari kepada Selangor.

''Kita sedang berbincang butiran lanjut perjanjian itu dan nilai yang kita tawarkan mengikut harga komersial," katanya

Mohamad turut menjelaskan, kerajaan negeri telah pun sebelum ini menyalurkan bekalan air terawat ke kawasan berhampiran seperti di Broga dan Semenyih, Selangor.

''Kita mendapat makluman, terdapat beberapa kawasan di daerah Selangor berhadapan bekalan air tidak menentu dan tekanan rendah. Empat daerah itu ialah Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Petaling.

"Keadaan itu juga memaksa Syarikat bekalan Air Selangor (Syabas) untuk meningkatkan pengeluaran air pada tahap maksimum iaitu 466 juta liter air sehari di Loji Sungai Langat dan 688 juta liter lagi di Loji Sungai Semenyih,'' katanya.
Mohamad memberitahu, sebelum ini negeri itu pernah membeli air terawat dari negeri Selangor dan Johor.

 Bagaimanapun, kini tidak lagi berhadapan masalah berkenaan selepas beberapa loji rawatan baru siap dibina.
''Sekiranya berlaku krisis bekalan air, empat empangan utama di negeri ini, mampu bertahan untuk tempoh tiga hingga empat bulan," jelasnya.

Tegasnya, kerajaan negeri kini bersedia untuk menjual air terawat kepada Selangor menjelang awal tahun hadapan.
Loji Ngoi-Ngoi dekat sini, katanya, mampu memproses air terawat sebanyak 135 juta liter sehari akan menjadi ejen pembekal air kepada kawasan yang terjejas di negeri Selangor itu.

''Kerajaan negeri juga mampumembekalkan air ke kawasan utara Johor, jika ada keperluan," katanya.

Saturday, 14 January 2012

Bantuan kerajaan ringankan beban pelajar beli buku




SEREMBAN 13 Jan. - Golongan pelajar diingatkan supaya memanfaatkan baucar RM200 yang diberi kerajaan untuk mendapatkan bahan bacaan berkualiti yang dapat membantu pembelajaran mereka.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, bantuan berkenaan diberi atas rasa tanggungjawab kerajaan untuk meringankan beban pelajar dalam mendapatkan buku dan bahan rujukan berkualiti.

"Kita patut bersyukur dengan pemberian ini. Beli buku dan ingat baucar ini tidak boleh ditukar dengan wang tunai. Gunakanlah sebaik mungkin," katanya di sini hari ini.



Mohamad berucap demikian pada majlis penyerahan baucar buku RM200 kepada penuntut matrikulasi serta pelajar sekolah menengah negeri ini di dewan Sekolah Menengah Tunku Ampuan Durah di sini hari ini.

Beliau berharap dengan pemberian baucar itu, lonjakan kecemerlangan akan dapat terus diperkasakan seiring dengan hasrat mahu menjadikan negeri ini sebagai lembah ilmu.

Mohamad turut mengingatkan orang ramai yang masih belum menyerahkan borang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) supaya segera berbuat demikian selepas tempoh penerimaannya dilanjutkan sehingga 10 Februari depan.



Katanya, penerimaan borang BR1M di luar bandar amat baik berbanding di bandar dan bagi mengatasi masalah tersebut, beliau mahu pemimpin masyarakat, persatuan penduduk dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) membantu dalam hal itu.

"Minta mereka yang layak segera isi dan hantar borang BR1M. Jangan gunakan orang tengah dan hantar di tempat yang ditetapkan. Kita dapati ada orang yang memungut borang ini dan akhirnya tidak dihantar ke tempat yang betul. Sebaliknya kita temui borang berkenaan dibuang. Ini satu cubaan sabotaj," jelasnya.

Friday, 13 January 2012

N.Sembilan lonjak hasil pertanian




Kerajaan negeri sedang berusaha untuk melonjakkan penghasilan sektor pertanian di negeri ini bagi mengurangkan kebergantungan bekalan makanan import. 

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Yunus Rahmat berkata, setakat ini peratusan kebergantungan bekalan makanan dari negara lain adalah sekitar 40 peratus.

Jelas Yunus, antara bahan makanan yang masih lagi diimport termasuklah beras, sayur-sayuran dan ikan.
"Untuk itu, beberapa pendekatan telah dan sedang dilakukan oleh kerajaan negeri bagi memastikan peratusan itu dapat dikurangkan.

"Antaranya, melalui Tapak Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dan usaha melaksanakan penanaman padi yang kini menjangkau 31 peratus. Setakat ini, kita menjangkakan dapat mencapai 40 peratus bagi memenuhi keperluan penduduk di negeri ini," katanya di sini hari ini.

Justeru katanya, pelaksanaan itu akan dijalankan oleh Jabatan Pertanian selain melibatkan beberapa agensi termasuk Agro Bank dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN).

Pada masa yang masa Yunus menjelaskan, inisiatif itu selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat, sekali gus mengatasi kebergantungan sumber makanan dari luar negeri mahupun negara
.
Malah kata beliau, Program Negeri Sembilan sebagai Kebun Buah-buahan dijangka bakal menampakkan keberkesanannya dengan jangkaan penghasilan 3,400 tan dalam tempoh dua tahun ini.

"Melalui program ini, masalah kebergantungan buah-buahan tempatan yang diimport dapat dikurangkan, sekali gus memenuhi keperluan di negeri ini dan Lembah Klang," katanya.

Kerajaan negeri sentiasa naik taraf kemudahan




Kerajaan negeri telah dan sedang menyediakan pelbagai kemudahan prasarana dan infrastruktur termasuklah gerai makanan di beberapa kawasan termasuk di daerah ini bagi memastikan keselesaan orang ramai sentiasa diutamakan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan, proses menaik taraf gerai-gerai yang menjadi tumpuan orang ramai yang bertandang ke negeri ini terus dilakukan termasuklah menyediakan kompleks yang memudahkan orang ramai untuk menikmati pelbagai jenis makanan.

''Sebagai contoh kawasan di Kendong sangat popular bagi orang ramai untuk mendapatkan lemang dan rendang dan kalau dahulu mereka singgah sahaja, kini, mereka boleh duduk dan menikmati hidangan.

''Begitu juga di Pedas, dahulu keadaannya amat uzur sekali dan kita telah mengambil inisiatif mendirikan kemudahan yang sama untuk para peniaga dan pelanggan datang ke situ," ujarnya
.
Mohamad berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Gerai Majlis Daerah Rembau di Dataran Rembau di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota, Datuk Dr. Awaludin Said dan ADUN Chembong, Zaifulbahri Idris.

Mengulas mengenai gerai berkenaan, Mohamad berkata, kemudahan itu dibina selepas pihaknya mendapati gerai lama tempat perhentian teksi dan bas pekan itu sudah terlalu uzur buat peniaga dan juga orang ramai untuk bertandang ke lokasi berkenaan.

Untuk itu, kata beliau, sudah tiba masanya lokasi itu diberi nafas baru yang mana kerajaan negeri dan PBT menaiktaraf kawasan berkenaan.

Peniaga lega diberi gerai sementara




 Pembinaan gerai sementara di kawasan Dataran Rembau yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama Majlis Daerah Rembau dilihat tepat pada masanya bagi kemudahan para peniaga di pekan berkenaan.

Rata-rata penerima kunci gerai berkenaan berkata, pembinaan gerai itu menunjukkan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) memahami masalah mereka yang telah telah berniaga di sekitar perhentian teksi dan bas pekan itu sejak 30 tahun lalu.

Bagi seorang penerima, Aminludin Yunus, 68, gerai yang diusahakan sebelum ini sudah terlalu usang dan tidak begitu kondusif bukan sahaja untuk pelanggan malah untuk peniaga.

"Walaupun perniagaan di kawasan itu agak memberangsangkan, namun infrastruktur tidak sesuai dan kami bersyukur kerana kerajaan negeri bersama PBT melaksanakan projek ini yang memberi kelegaan sementara kepada para peniaga," katanya ketika di temui di sini hari ini.

Aminludin antara 10 penerima kunci gerai sementara yang disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan pada majlis penyerahan di sini hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota, Datuk Dr. Awaludin Said dan ADUN Chembong, Zaifulbahri Idris.

Seorang lagi penerima, Norlaily Abdullah, 61, berkata, gerai sementara itu memudahkan para pelanggan untuk mengunjunginya.

"Ruangnya besar untuk pelanggan, namun kawasan dalam gerai pula agak kecil sedikit namun apa yang saya dimaklumkan kerajaan negeri akan melebarkan sedikit kawasan ini untuk kami memasak dan sebagainya.

"Ini adalah satu kelegaan buat kami sebelum tempat lama di kawasan perhentian teksi dan bas dibuka untuk para peniaga," katanya.

177 pembeli rumah rasa lega









Seramai 177 pembeli rumah di Taman Kerisi di sini dan Taman Bukit Ara dekat Kuala Pilah, kini boleh menarik nafas lega apabila projek perumahan berkenaan yang telah terbengkalai sejak 10 tahun lalu berjaya dipulihkan.


Seorang pembeli, A.Lingam, 40, berkata, dia melahirkan rasa gembira kerana hajatnya untuk mendiami rumah berkenaan akhirnya tercapai.

''Sudah terlalu lama saya menunggu untuk tinggal di rumah ini, hari ini rasa gembira kerana Taman Kerisi akhirnya menerima Sijil Layak Menduduki (CFO) pada 13 Disember lalu manakala Taman Bukit Ara pula pada 23 Disember.

''Selepas sekian lama menyewa rumah di sekitar bandar ini, kini saya sekeluarga dapat tinggal di rumah sendiri," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Projek Perumahan Taman Kerisi dan Taman Bukit Ara di sini hari ini.

Siti Norham, 49, yang turut melahirkan perasaan yang sama memberitahu, dia berterima kasih kepada semua pihak yang berusaha memulihkan projek perumahan berkenan sekali gus memberi kegembiraan kepada pembeli.

''Memang rasa seronok dapat tinggal rumah baru bersama keluarga kerana sebelum ini kami menumpang di rumah mertua. Usaha semua pihak memulihkan taman ini dianggap 'hadiah tahun baru' kepada kami," ujarnya
.
Sementara itu, seorang lagi pembeli, Chung Yee, 32, berkata, dia hampir berputus asa dengan status taman perumahan tersebut kerana terlalu lama terbengkalai.

''Saya fikir rumah ini gagal dipulih, namun hari ini amat lega selepas melalui satu tempoh yang lama kami pembeli dapat menduduki rumah ini. Saya gembira dan berterima kasih kepada usaha semua pihak," katanya.

Kesemua pembeli rumah di kedua taman berkenaan menerima kunci masing-masing yang disampaikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung.

Premis judi Internet diserbu



Kegiatan perjudian Internet yang dijalankan di sekitar Taman Seremban Jaya dekat sini berjaya dilumpuhkan selepas polis menyerbu tiga buah premis awal tahun ini.

Serbuan  itu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri (IPK) selepas pihaknya mendapat maklumat daripada orang ramai mengenai kegiatan berkenaan sejak beberapa bulan lalu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Supritendan Zazali Hashim berkata, dalam serbuan itu, lapan pelanggan yang sedang leka bermain judi di premis berkenaan turut ditahan untuk siasatan lanjut.

“Dalam operasi ini, polis merampas 48 unit komputer yang dipercayai digunakan untuk aktiviti perjudian di tiga premis berkenaan.

“Semua pelanggan yang berusia20 hingga lingkungan 40-an itu cuba melarikan diri tetapi gagal selepas menyedari premis berkenaan dikepung,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, hasil serbuan itu juga, polis menahan tiga lelaki berusia 21 hingga dipercayai penjaga premis berkenaan.
Siasatan awal mendapati, kesemua premis ini sudah beroperasi sejak beberapa bulan lalu dan sering dikunjungi kaki-kaki judi untuk melepaskan gian. Malah bagi tujuan keselamatan, pengusaha juga memasang kamera litar tertutup (CCTV).

Zazali berkata, polis memandang serius kegiatan perjudian Internet ini dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat.

Menurutnya lagi, kes ini disiasat mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Pindaan 2001) dan Seksyen 6 Enakmen Pusat Hiburan kerana berniaga tanpa lesen.

Jika sabit kesalahan, pemilik premis boleh dikenakan denda sebanyak RM10,000 bagi setiap mesin yang dirampas atau penjara lima tahun di bawah Seksyen 4B (a).

“Bagi kesalahan di bawah Seksyen 6, pemilik premis boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun,” katanya.

RM581,000 tampung subsidi tiket



Kerajaan negeri membelanjakan sejumlah RM581,000 bagi menampung subsidi tiket bas kepada syarikat pengusaha bas henti-henti di negeri ini untuk memastikan perkhidmatan itu diteruskan demi kemudahan orang ramai.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pembayaran interim itu dilakukan hasil daripada persetujuan bersama agar syarikat terbabit tidak menghentikan perkhidmatan disebabkan mengalami kerugian.

‘‘Kita telah putuskan dan bersetuju untuk menampung harga tiket yang sepatutnya dibayar oleh orang ramai sekali gus membolehkan syarikat terbabit menanggung kos operasi mereka.

‘‘Sebanyak 40 peratus daripada subsidi itu dibayar hari ini bagi perkhidmatan yang diberikan bermula pertengahan November sehingga hujung Disember lalu,” katanya.

Mohamad berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Wisma Negeri di sini, hari ini.

Jelasnya, inisiatif itu diambil demi menjamin kemudahan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini terus dipelihara.
‘‘Perkara ini telah dibincangkan dalam satu pertemuan antara pihak kami, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bersama syarikat bas
.
‘‘Kita juga telah menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU), di mana kerajaan negeri bersetuju memberikan subsidi tambang itu memandangkan pihak pengusaha tidak mampu menampung kos penyelengaraan, kenaikan harga alat ganti, serta membayar gaji pekerja menerusi kutipan harga tiket sedia ada,” ujarnya.

Mohamad menjelaskan, bermula tahun ini, pihak SPAD akan mengambil alih sebarang pembayaran subsidi dalam memastikan perkhidmatan tersebut diteruskan.

Baru-baru ini, SPAD mengumumkan mana-mana pengusaha bas henti-henti swasta yang menghadapi masalah kewangan meneruskan operasi boleh memohon dana sokongan sementara berjumlah RM400 juta yang disediakan Kerajaan Persekutuan.