Powered By Blogger

Friday, 4 April 2014

Baik Pulih Sekolah Tinggi Agama Maahad Ahmadi (STAM)


TAMPIN, 31 Mac – Kerajaan Negeri Sembilan telah memperuntukkan sejumlah hampir RM1 juta bagi menyelenggara dan membaik-pulih surau yang terdapat di Maahad Ahmadi Negeri Sembilan di Gemencheh dalam memastikan keselesaan pelajar di sekolah itu disamping dapat menampung pelajar antara 700 hingga 800 orang bagi satu-satu masa.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, menyatakan perkara tersebut dalam lawatan kerja beliau di tiga tempat di daerah Tampin hari ini antaranya Sekolah Tinggi Agama Maahad Ahmadi (STAM), Institut Tahfiz Al- Quran Negeri Sembilan (ITQAN) di Gemencheh dan projek pembinaan Hotel, di Gemas.
Dalam lawatan ke Maahad Ahmadi di Gemencheh, beliau menjelaskan, keadaan sekolah Tinggi Agama Maahad Ahmadi (STAM) juga memerlukan penyelenggaraan semula berikutan sudah menjangkau usia yang terlalu lama dan banyak kerosakan yang telah berlaku. Ini termasuklah surau yang terdapat di sekolah tersebut.
“Memandangkan keadaan bangunan yang ada di Maahad Ahmadi dan Institut Tahfiz yang perlukan baik-pulih segera, maka kerajaan memutuskan peruntukkan segera bagi perlaksanaan tersebut,” jelas beliau.
Dalam rangka lawatan itu, beliau turut meninjau keadaan di Institut Tahfiz Al Quran Negeri Sembilan (ITQAN) yang turut dinaik taraf dan baik-pulih bagi keselesaan pelajar di pusat tersebut.
Terdahulu, YAB Menteri Besar turut melawat projek pembinaan hotel di Gemas dimana ianya merupakan tapak Rumah Rehat Gemas yang telah dinaik taraf  sebagai pusat komersial yang mempunyai lot  kedai yang tersusun.
Turut hadir dalam rangka lawatan itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, YB Dato’ Mat Ali bin Hasan, Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Yang Berusaha Tuan Kamal Amran bin Kamarudin.

Thursday, 3 April 2014

Empat ratus perwakilan Alumni 4B Malaysia


Seremban, 29 Mac – Empat ratus perwakilan Alumni 4B Malaysia seluruh negara berhimpun di Persidangan Perhimpunan Agung Alumni 4B Malaysia Tahun 2014 yang berlangsung di Klana Resort, Seremban.
Persidangan yang berlangsung dua hari bermula hari ini dirasmikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan.
Negeri Sembilan menjadi tuan rumah bagi persidangan dwi tahunan kali ini.
Beliau di sambut oleh Presiden Almuni 4B Malaysia, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Pengerusi Alumni 4B (Malaysia) Negeri Sembilan, Datuk Hj Yop @Ayub Hj Yahya dan Setiausaha Agung Alumni 4B Malaysia, Datuk Wira Hj Jamaludin Abdul Rahim, di sini.
Alumni 4B Malaysia diwujudkan sejak tahun 2009 berikutan daripada pengubalan Akta Belia Negara  yang diperuntukkan oleh perlembagaan bahawa ahli belia terdiri daripada usia 18-40 tahun.
Melihat dari semangat ahli belia yang menjangkaui usia 40 tahun dan ke atas, maka Presiden Gerakan Belia 4B ketika itu, Datuk Seri Mohd Ali Hj Rustam mewujudkan Alumni 4B Malaysia bagi kesinambungan semangat dan meneruskan perjuangan kepimpinan belia.
Ternyata usaha dan idea yang direalisasikan menjadikan kepimpinan belia yang menjangkaui usia sebagai penasihat secara tidak langsung kepada ahli belia ketika ini.
Menteri Besar Negeri Sembilan di dalam ucapan memuji idea yang proaktif hasil dari percambahan fikiran bekas-bekas pemimpin belia yang dikagumi.
Bekas pemimpin belia mempunyai semangat juang yang tinggi terhadap agama, bangsa dan negara di samping sentiasa membantu kerajaan di awal penubuhannya sehingga kini.
Katanya, di zaman serba mencabar, kepimpinan belia hari ini seharusnya mencontohi kepimpinan belia terdahulu yang sanggup berkorban jiwa raga untuk memastikan bangsa terus di bela di negara ini.
Tidak banyak yang diperjuangkan, biar sekadar bangsa diberi keutamaan, pemimpin belia yang kini berjuang di medan alumni akan terus memastikan tanah air tidak tergadai gara-gara kerakusan kuasa oleh beberapa pihak yang sedang memerhati kelekaan bangsa Melayu kini.

Wednesday, 2 April 2014

Belia Mampu Menjadi Penggerak


Seremban, 24 Mac  – Kerajaan negeri mahu melihat golongan belia mampu menjadi penggerak dalam apa jua aktiviti masyarakat serta menjadi penyampai  maklumat kepada kerajaan dalam melaksanakan dasar-dasar yang ditetapkan.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan berkata, golongan belia ini merupakan golongan yang proaktif serta mempunyai peratusan penduduk yang ramai di negara ini.
“Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia ditubuhkan bagi mencapai matlamat pelbagai seperti yang telah dirancang. Oleh yang demikian, belia perlu menjalankan tanggungjawab mengumpul isu semasa rakyat serta dapat memberi idea kepada kerajaan bagi meningkatkan usahasama dalam membantu rakyat,”  kata beliau dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Belia Negeri Sembilan  dan Gabungan Majlis Belia di Royal Bintang, Seremban.
Menurut beliau, hampir 46% belia telah berdaftar dengan persatuan dan sebanyak 30%  masih belum berdaftar menjadi ahli.
”Diharap mana-mana golongan belia yang masih belum mendaftar boleh mendaftar sebagai ahli dan menjadi seseorang yang dipandang tinggi dalam memberi bakti kepada masyarakat,” katanya.

Fitnah Menjadi Lumrah Manusia


Rantau, 23 Mac – Fitnah menjadi lumrah manusia yang berlumba-lumba mahu menjadikan diri mereka dipandang mulia oleh orang lain, namun mangsa fitnah pula akan terus-terusan ditohmah oleh golongan yang mempercayainya.
Hakikat sebenar, fitnah berleluasa sejak zaman berzaman malah ketika zaman Rasulullah,Nabi Muhammad SAW,  budaya fitnah juga sukar dibendung dan manusia sering berbalah-balah disebabkan faktor mendengar dari satu pihak sahaja.
Budaya ini dapat kita hindarkan jika kemantapan kendiri sebagai ummat Islam dituruti dan tidak membiarkan ianya membelenggu dalam sebuah kehidupan.
Ujar Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Pengerusi Kompleks Pusat Islam Rantau, YAB Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan ketika berucap di Majlis Sambutan Maulidur Rasul Bagi Tahun 2014/1435H Masjid Kompleks Pusat Islam Rantau.
Beliau hadir menyempurnakan majlis tersebut menyatakan dalam era globalisasi dan dunia tanpa sempadan ini, terdapat dua kaedah fitnah yang berleluasa iaitu berlaku fitnah di alam nyata, malah turut berlaku di alam maya.
Situasi ini amat membimbangkan kerana fitnah maya yang berleluasa menjadikan perkara tersebut dilihat sebagai satu kebenaran.
Paling membimbangkan lagi, apabila sesuatu perkara benar tidak lagi diyakini oleh segolongan masyarakat di negara ini.
Bagi menghadapi dan menangkis budaya ini, masyarakat perlu berjiwa besar dan pertingkatkan jati diri bagi perjelaskan perkara sebenar untuk membetulkan perkara fitnah yang dianggap benar.
Terdahulu, Penceramah bebas, Al-Fadil Ustaz  Hj Badli Shah Alauddin menyampaikan ceramah bertajuk “Bahayanya fitnah dalam masyarakat kita.”
Turut hadir, isteri Menteri Besar Negeri Sembilan, YM Raja Datin Seri Hajah Salbiah Tengku Nujumuddin.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan, Dato’ Dr. Awaluddin bin Said, Setiausaha Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan, Dato’ Hj Mat Ali Hj Hasan.

Tuesday, 1 April 2014

Surau Badi’ul Islam Taman Kobena


SENAWANG, 23 Mac – Surau Badi’ul Islam Taman Kobena kini siap dibina dan boleh digunakan oleh penduduk setempat mahupun masyarakat sekeliling kawasan ini.
Surau ini dibina semula pada tahun 2012 di sebabkan ianya terlalu uzur, dan kedudukan asalnya setinggi dua tingkat menyukarkan warga emas menunaikan kewajipan solat berjemaah.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad B. Haji Hasan hadir merasmikan Surau Badi’ul Islam di Taman Kobena , Senawang.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), mengambil inisiatif untuk membina surau yang baru bagi kemudahan akan datang dan keselesaan para jemaah di surau tersebut.
Menurut beliau, setakat ini  tiga lagi masjid sedang dibina oleh MAINS seperti di Seremban Jaya , Kampung Sogo dan Kampung Siliau dan dijangka boleh diguna sebelum bulan Ramadhan tahun ini.
“MAINS juga turut merancang membina 25 buah masjid dan beberapa  surau di negeri ini seperti Masjid Bandar Baru Senawang, Masjid Kundur Hilir dan Masjid Bandar Warisan Puteri.
“Oleh yang demikian, diharap penduduk dapat menjadikan surau mahupun masjid sebagai sebuah pusat kegiatan agama dalam kemasyarakat dan sekaligus mengeratkan silaturrahim antara satu sama lain demi perpaduan umat Islam,” katanya.
Dalam majlis tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada kanak- kanak PDK dan anak- anak yatim.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam , Tuan Haji Selamat B. Paigo, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Paroi, YB Mohd Ghazali B. Wahid dan Pengerusi Surau Badi’ul Islam, Ustaz Baharin B. Mohd Yusof.

"Anggap Hutan dan Alam Sekitar Ini Sebagai Pinjaman"


PORT DICKSON, 21 March – Kesedaran menyayangi khazanah hutan wajar dikembangkan melalui program kemasyarakatan bagi melahirkan individu yang prihatin terhadap alam sekitar  dan menghargai keindahan alam.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan menegaskan,penjagaan alam sekitar dan hutan tropika menjadi tanggungjawab masyarakat hari ini agar ianya dapat dinikmati oleh generasi akan datang.
“Anggap hutan dan alam sekitar ini sebagai pinjaman yang akan kita pulangkan pada generasi anak cucu kita, dalam masa yang sama kita perlu memastikan warisan hijau  negara dikekalkan,” jelas beliau dalam Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan Tahun 2014 di Pusat Pendidikan Pelancongan, Perngurusan Hutan Tropika, Hutan Simpan Sungai Menyala, Port Dickson.
Menurut beliau, selaras dengan tema sambutan Hari Hutan Antarabangsa tahun ini iaitu ‘ Hutan Untuk Kesejahteraan Masyarakat ‘, kerajaan negeri komited ke arah memastikan khazanah hutan di Negeri Sembilan diuruskan secara mampan bagi menjamin kepentingan masyarakat terpelihara dan kestabilan alam sekitar terjaga.
“Dalam keghairahan kita menongkah arus pembangunan negara, jangan sesekali kita leka hingga mengabaikan aspek alam sekitar yang perlu dipelihara dengan baik.
“Ini selari dengan ‘tagline’ yang digunapakai oleh kita di Negeri Sembilan, ‘Membangun Bersama-sama Mensejahterakan Rakyat’ yang mementingkan kualiti kehidupan dan persekitaran yang sihat,” tambahnya lagi.
Tema Hari Hutan Antarabangsa ini juga membawa mesej betapa perlunya kita berusaha dalam mengekalkan bumi Malaysia terus subur dengan kehijauan kawasan berhutan yang kaya dengan kepelbagaian flora dan fauna.
Dalam majlis sama, YAB Menteri Besar turut serta dalam penanaman benih pokok bagi simbolik mengekalkan bumi agar terus subur dengan kehijauan.
Turut hadir dalam majlis itu, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, YB Datuk Dr. James Dawos Mamit, Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Dato’ Prof. Dr. Haji Abd Rahman bin Hj Abd Rahim dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, YB Datuk Mat Ali bin Hasan.

Negeri Sembilan Mencatatkan Rekod Kejayaan


SEREMBAN, 19 Mac – Seramai 20 pelajar cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dari Negeri Sembilan mencatatkan rekod kejayaan dalam peperiksaan tersebut yang di umumkan hari ini.
“Ini menjadikan Negeri Sembilan sebagai pelajar terbaik seramai 20 orang berbanding negeri-negeri lain,” jelas YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan sewaktu sidang media di Wisma Negeri, dekat sini.
Menteri Besar Negeri Sembilan yang turut mewakili kerajaan Negeri Sembilan menzahirkan rasa gembira dan tahniah kepada pelajar yang berjaya dalam STPM sekaligus melonjakkan peningkatan pelajar yang lulus berbanding 2012 seramai 13 orang.
Menurut beliau, calon STPM lulus penuh pada tahun 2013 adalah 96.9% berbanding  94.9% pada 2012 merupakan satu peningkatan yang baik dan membuktikan dasar-dasar pendidikan yang digerakkan mencapai sasarannya.