Powered By Blogger

Tuesday 1 April 2014

Surau Badi’ul Islam Taman Kobena


SENAWANG, 23 Mac – Surau Badi’ul Islam Taman Kobena kini siap dibina dan boleh digunakan oleh penduduk setempat mahupun masyarakat sekeliling kawasan ini.
Surau ini dibina semula pada tahun 2012 di sebabkan ianya terlalu uzur, dan kedudukan asalnya setinggi dua tingkat menyukarkan warga emas menunaikan kewajipan solat berjemaah.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad B. Haji Hasan hadir merasmikan Surau Badi’ul Islam di Taman Kobena , Senawang.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), mengambil inisiatif untuk membina surau yang baru bagi kemudahan akan datang dan keselesaan para jemaah di surau tersebut.
Menurut beliau, setakat ini  tiga lagi masjid sedang dibina oleh MAINS seperti di Seremban Jaya , Kampung Sogo dan Kampung Siliau dan dijangka boleh diguna sebelum bulan Ramadhan tahun ini.
“MAINS juga turut merancang membina 25 buah masjid dan beberapa  surau di negeri ini seperti Masjid Bandar Baru Senawang, Masjid Kundur Hilir dan Masjid Bandar Warisan Puteri.
“Oleh yang demikian, diharap penduduk dapat menjadikan surau mahupun masjid sebagai sebuah pusat kegiatan agama dalam kemasyarakat dan sekaligus mengeratkan silaturrahim antara satu sama lain demi perpaduan umat Islam,” katanya.
Dalam majlis tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada kanak- kanak PDK dan anak- anak yatim.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam , Tuan Haji Selamat B. Paigo, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Paroi, YB Mohd Ghazali B. Wahid dan Pengerusi Surau Badi’ul Islam, Ustaz Baharin B. Mohd Yusof.

No comments:

Post a Comment