Powered By Blogger

Monday 21 April 2014

RM987,129.00 Bayaran Zakat Perniagaan


Seremban, 17 Apr. – Bank Rakyat mempersembahkan bayaran zakat perniagaan berjumlah RM987,129.00 di Istana Hinggap, Seremban.
Majlis mempersembahkan bayaran zakat perniagaan diwakili oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), YB Dato’ Seri Hj Hasan Malek di hadapan DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Mengiringi DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), YAB. Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan.
YB Dato’ Hasan Malek kemudiannya menyerahkan pembayaran zakat tersebut kepada DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Kemudiannya, baginda menyerahkan zakat tersebut kepada Pengerusi MAINS, YAB. Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan.
Bank Rakyat merupakan bank di bawah pengurusan Koperasi di Kementerian KPDNKK, dan setiap tahun tidak lepas melunaskan zakat perniagaan di setiap negeri.
Menurut Dato’ Seri Hasan Malek ketika sidang media, Bank Rakyat memperoleh keuntungan setiap tahun dan memberi dividen kepada pemegang akaun sebanyak 15% iaitu kira-kira RM460 juta.
Pengerusi MAINS, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan pula melafazkan kesyukuran kerana pungutan zakat suku tahun pertama 2014 meningkat berbanding suku tahun pertama 2013 kepada RM24 juta tidak termasuk zakat yang baru diterima dari Bank Rakyat.
Beliau berharap, Pusat Zakat Negeri Sembilan (PZNS) terus komited menyediakan perkhidmatan pembayaran zakat buat rakyat di negeri ini dengan pelbagai cara mudah, umpamanya menyediakan Skim Pemotongan Zakat Secara On-line.
Sebagai Pengerusi MAINS juga, beliau meletakkan  sasaran sebanyak RM80 juta tahun ini memandangkan, PZNS sentiasa melepasi target pungutan di tahun-tahun sebelumnya.
Hadir sama, Pengarah Urusan Presiden Bank Rakyat, Datuk Mustafha Abd Razak, Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Sahibus Samahah Dato’ Hj Mohd Yusof Hj Ahmad, Setiausaha MAINS, Tuan Kamal Amran Kamaruddin dan Pengerusi Pusat Zakat Negeri Sembilan, Tuan Hj Nur Azmi Hj Musa dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, YBhg. Ustaz Selamat Bin Paigo

No comments:

Post a Comment