Powered By Blogger

Wednesday 9 April 2014

Pergiatkan Pembangunan Luar Bandar


REMBAU, 04 April – Sebuah Majlis Pelancaran Rumah Contoh Projek Rimbunan Kaseh Mukim Batu Hampar telah dilancarkan di Pusat Komuniti Bersepadu Rimbunan Kaseh Kg. Seberang Batu Hampar, Rembau, Negeri Sembilan.
Keprihatinan Kerajaan Negeri dalam memajukan pembangunan kawasan luar bandar kini dipergiat bagi memastikan setiap aktiviti khususnya dalam bidang ekonomi dan juga pertanian dipertingkat.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan berkata, kawasan luar bandar perlu diberi perhatian dalam keghairahan pembangunan yang amat baik. Ini adalah untuk memastikan masyarakat luar bandar mengenal erti kemajuan.
Menurut beliau, projek Rimbunan Kaseh yang dijalankan ini merupakan percambahan fikiran serta gabungan syarikat yang besar melalui perkongsian pintar dengan tujuan melahirkan para jutawan.
“Kehidupan di kampung mahupun di luar bandar tidak perlu dilabel sebagai kawasan yang kurang kemajuan sebaliknya ia adalah kawasan yang mampu menjana pendapatan”, katanya lagi.
Rumah IRIS KOTO IBS yang dibina sebanyak 100 buah unit dengan keluasan 1175 kps setiap satu, menjadikan kawasan seluas 20 ekar ini sebagai kawasan yang mempunyai kemudahan setempat bagi masyarakat luar bandar.
Seramai 100 orang peserta yang ditempatkan di kawasan baru ini akan bekerja selama 5 tahun bagi mengusahakan industri asas tani. Elaun sebanyak RM1000 akan diberikan pada 6 bulan yang pertama seterusnya akan ditingkatkan kepada RM1500 sehingga akhir 5 tahun.
Turut hadir, Yang Di-Pertua Dewan Undangan Negeri Sembilan, YB. Dato’ Dr. Haji Awaludin Bin Said, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, YB. Dato’ Haji Mat Ali Bin Hassan, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Modal Insan, Belia Dan Sukan merangkap ADUN Chembong, YB. Dato’ Zhaifulbahri Bin Idris, Ketua Pengarah ICU JPM, YBhg. Tan Sri Shukry Bin Mohd Salleh dan Pengarah Urusan IRIS Corporation Berhad, YBhg. Dato’ Tan Say Jim.

No comments:

Post a Comment