Wednesday, 16 April 2014

Gotong-Royong Perdana Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2014



SIKAMAT, 12 April – Penyakit demam denggi diseluruh Negeri Sembilan semakin menular dengan pembiakan nyamuk Aedes yang semakin merebak sehingga mendatangkan masalah kepada masyarakat.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan dalam ucapan menyatakan, sikap masyarakat yang tidak menjaga kebersihan kawasan tempat tinggal menyebabkan kadar pembiakan nyamuk Aedes meningkat tinggi lantas mengakibatkan jangkitan denggi terus berlaku dalam kalangan penduduk.
Menurut beliau, program Gotong Royong Perdana Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2014 yang diadakan di Padang Taman Desa Rhu, Sikamat pagi ini memberi impak yang amat baik dalam menjaga kebersihan kawasan.
Kolaborasi Tiga Penjuru diantara PBT, KRT dan COMBI menyumbang bakti melaksanakan program ini bersama-sama pasukan Askar Wataniah, PLKN Rembau dan juga PLKN Kuala Pilah.
“Kita pasti akan dapat membina kehidupan murni, tenteram dan bahagia dengan terus memberi komitmen bersama masyarakat setempat bagi bekerjasama menyelia kawasan tempat tinggal”, katanya sewaktu menyempurnakan perasmian program.
Sehubungan itu, beliau turut mengingatkan masyarakat supaya terus berwaspada dan mengambil langkah pencegahan awal bagi mencegah pembiakan Aedes yang mengundang demam denggi.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, YB. Dato’ Haji Mat Ali Bin Hassan dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, YB. Dato’ Haji Jalaluddin Bin Haji Alias.

No comments:

Post a Comment