Powered By Blogger

Tuesday 1 April 2014

"Anggap Hutan dan Alam Sekitar Ini Sebagai Pinjaman"


PORT DICKSON, 21 March – Kesedaran menyayangi khazanah hutan wajar dikembangkan melalui program kemasyarakatan bagi melahirkan individu yang prihatin terhadap alam sekitar  dan menghargai keindahan alam.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan menegaskan,penjagaan alam sekitar dan hutan tropika menjadi tanggungjawab masyarakat hari ini agar ianya dapat dinikmati oleh generasi akan datang.
“Anggap hutan dan alam sekitar ini sebagai pinjaman yang akan kita pulangkan pada generasi anak cucu kita, dalam masa yang sama kita perlu memastikan warisan hijau  negara dikekalkan,” jelas beliau dalam Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan Tahun 2014 di Pusat Pendidikan Pelancongan, Perngurusan Hutan Tropika, Hutan Simpan Sungai Menyala, Port Dickson.
Menurut beliau, selaras dengan tema sambutan Hari Hutan Antarabangsa tahun ini iaitu ‘ Hutan Untuk Kesejahteraan Masyarakat ‘, kerajaan negeri komited ke arah memastikan khazanah hutan di Negeri Sembilan diuruskan secara mampan bagi menjamin kepentingan masyarakat terpelihara dan kestabilan alam sekitar terjaga.
“Dalam keghairahan kita menongkah arus pembangunan negara, jangan sesekali kita leka hingga mengabaikan aspek alam sekitar yang perlu dipelihara dengan baik.
“Ini selari dengan ‘tagline’ yang digunapakai oleh kita di Negeri Sembilan, ‘Membangun Bersama-sama Mensejahterakan Rakyat’ yang mementingkan kualiti kehidupan dan persekitaran yang sihat,” tambahnya lagi.
Tema Hari Hutan Antarabangsa ini juga membawa mesej betapa perlunya kita berusaha dalam mengekalkan bumi Malaysia terus subur dengan kehijauan kawasan berhutan yang kaya dengan kepelbagaian flora dan fauna.
Dalam majlis sama, YAB Menteri Besar turut serta dalam penanaman benih pokok bagi simbolik mengekalkan bumi agar terus subur dengan kehijauan.
Turut hadir dalam majlis itu, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, YB Datuk Dr. James Dawos Mamit, Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Dato’ Prof. Dr. Haji Abd Rahman bin Hj Abd Rahim dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, YB Datuk Mat Ali bin Hasan.

No comments:

Post a Comment