Powered By Blogger

Friday, 1 November 2013

Eratkan perpaduan kaum dalam Sambutan Deepavali


Senawang, 27 Okt – Pesta Deepavali anjuran MIC Bahagian Rembau di sambut di Dataran Senawang.
Majlis yang di anjurkan oleh Ketua MIC Bahagian Rembau, Dato’ VS Mogan di sempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan Malaysia merangkap Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Tuan Hj Khairy Jamaluddin Abu Bakar, ADUN Kawasan Paroi, Tuan Mohd Ghazali Abdul Wahid, Setiausaha UMNO Bahagian Rembau, Dato’ Azman Hj Hasan dan ADUN Kawasan Jeram Padang, Tuan L. Manickam.

Menteri Besar turut menyampaikan sumbangan hari raya kepada warga emas dan golongan OKU bagi persiapan perayaan Deepavali pada 02 November ini.

Di dalam ucapan, beliau mengajak segelinap kaum di negara ini agar bersatu padu dan terjemahkan semangat perpaduan di dalam persahabatan antara kaum.

Menyentuh berkaitan bajet 2014 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, pembentangan tersebut memberi manfaat kepada golongan yang amat memerlukan berbanding golongan kaya yang dahulunya turut merasai subsidi kerajaan.

GST yang didakwa oleh pembangkang akan membebankan rakyat itu adalah tidak betul sama sekali, ini kerana rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana tidak dikenakan cukai terutamanya di atas pembelian keperluan asas.

Ujar beliau, tidak perlu risau dan perlu yakin dengan pembentangan bajet 2014 kerana bajet tersebut turut memandang serius kebajikan dan kesejahteraan semua kaum dalam negara ini sama seperti tahun sebelum ini.

Pribadi kepimpinan pelajar terbentuk dari program kemasyarakatan


Rantau, 27 Okt – Lapan buah kampung terlibat dalam pengambilan anak angkat pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai di mana dari lapan buah kampung tersebut, membabitkan 44 buah keluarga dan seramai 92 orang pelajar.

Program yang berlangsung selama dua hari di DUN Rantau itu lebih menjurus kepada program masyarakat apabila para pelajar didedahkan dengan kehidupan bermasyarakat dalam masa yang sama, para pelajar pula memberi khidmat bakti terutama kepada warga emas dan anak-anak di sini.

Pelajar USIM yang rata-ratanya dari Terengganu, Kedah, Kelantan dan Sabah berpeluang mengenal gaya hidup di negeri ini.

Ujar Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan ketika menyempurnakan Program Khidmat Mahasiswa Prihatin DUN Rantau yang berlangsung di Balai Islam Rantau.

Mereka merupakan pemimpin masa hadapan yang boleh mengimbangi antara akademik dan kehidupan bermasyarakat, malah tidak kekok apabila satu masa nanti, jika mereka pemimpin mereka menyedari masyarakat ini yang perlu mereka pimpin.

Katanya lagi, “bukan jadi seorang pemimpin yang terasing dirinya. Maka, penyediaan dan persiapan dari pihak universiti (USIM) amat penting untuk menjiwai resam masyarakat,”

Mereka ini merupakan golongan mahasiswa yang kritis pemikirannya, dan perlu selalu di beri nasihat, jika tidak dipandu mereka akan tersasar.

Beliau seterusnya menjelaskan, “kita bukan lagi berada dalam masyarakat yang tahu semua, kita betul semua, tetapi proses timbal balik perlu untuk kita menambah baik mana yang kurang.

Tegas beliau lagi, ko-ordinator boleh memantau dan mengahantar analisis yang dibuat di sesuatu kawasan yang mereka pergi untuk di kaji demi kebaikan bersama.

Thursday, 31 October 2013

MBNS bersama pengundi DUN Sungai Limau


Yan, 26 Okt – Menteri Besar Negeri Sembilan juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan meluangkan masa sehari bertemu dan beramah mesra dengan penduduk Kg Kelantan Kuala Dulang Besar dan  Penduduk Dulang Kechil di PDM Dulang Kechil dan Dulang Besar sempena Pilihanraya Kecil (PRK) DUN N20 Sungai Limau.

Beliau  menemui PDM angkat Negeri Sembilan bagi kempen PRK Sungai Limau setelah penyandang terdahulu Allahyarham Tan Seri Ustaz Azizan Abdul Razak (PAS) meninggal dunia berikutan jangkitan kuman dan kegagalan organ dalaman pada 26 September lalu di  Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.

PRK Sungai Limau menyaksikan pertandingan satu lawan satu, di mana Barisan Nasional (BN) mencalonkan Dr. Ahmad Sohaimi Lazim, Pensyarah Kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan PAS mencalonkan Ketua Pemuda PAS Jerai, Mohd Azam Abdul Samat.

Dalam pertemuan ringkas bersama pengundi-pengundi di sini, Menteri Besar sempat beramah mesra bersama penduduk kampung dan pengundi yang terdiri dari golongan belia dan warga emas.

Malah beliau turut menyampaikan saguhati buat mereka yang memerlukan di samping menjelaskan halatuju perjuangan BN jika diberi mandat oleh penduduk di sini.

Tarikh membuang undi bagi PRK DUN N20 Sungai Limau pada 04 November 2013.

Thursday, 10 October 2013

Majlis Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia


Seremban, 04 Okt – Negeri Sembilan menjadi negeri pertama yang mewujudkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia dalam negara dan satu-satunya negeri yang mempunyai perancangan pembangunan belia untuk lima tahun sekali seumpama Rancangan Malaysia yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan sejak sebelum merdeka lagi.
Melalui perancangan dan penelitian lima tahun sekali tersebut (2005-2010) kejayaan pembangunan belia di negeri ini dengan wujudnya Sekretariat Belia di bawah Yayasan Negeri Sembilan (YNS).
Kini, tertubuhnya DUN Belia Negeri Sembilan merupakan hasrat yang terkandung di dalam pelan pembangunan belia pada fasa pertama juga merupakan aspirasi Kerajaan Negeri terhadap peranan belia kepada pembangunan di negeri ini.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan ketika menyempurnakan Persidangan DUN Belia Negeri Sembilan di Klana Resort Seremban mengucapkan tahniah di atas inisiatif Sekretariat Belia Negeri Sembilan bersama gandingan Majlis Belia Negeri Negeri Sembilan di atas usaha mewujudkan DUN Belia Negeri Sembilan.
Ujar beliau di dalam ucapan, 50 peratus atau lebih satu juta penduduk di negeri ini merupakan golongan belia yang merupakan generasi akan datang dan dikalangannya pula akan berada pada institusi kepimpinan yang akan membawa dan memacu pembangunan negeri ini.
Menteri Besar juga mahu melihat, belia di negeri ini mempunyai pemikiran sendiri dan iltizam mahu mencorakkan pembangunan negeri dengan jiwa dan idea yang besar dan tidak bergantung kepada pemikiran orang lain dan disuruh arah seperti robot.
Beliau seterusnya mengingatkan kepada pemimpin belia yang menerima mandat pertama sebagai wakil belia di kawasan DUN masing-masing dan dalam sektorial yang mewakili 70 peratus belia yang tidak terlibat dalam mana-mana persatuan.
Nasihat beliau kepada ADUN Belia kawasan dan ADUN Belia Sektorial, “jadilah pemimpin ukuran bukan pemimpin siaran, di mana masyarakat boleh mengukur keupayaan dari dasar dan perkhidmatan yang kita perkenal dan laksanakan.
“Kita tidak boleh melihat  keupayaan pemimpin siaran kerana mereka hanya boleh mengadu domba dan akhirnya tidak melihat matlamat dan perjuangan sebenarnya.
Ujar beliau lagi, Persidangan DUN Belia Negeri Sembilan bersidang dua kali setahun dan boleh melaksanakan Persidangan tergempar jika perlu.
Di majlis sama, Menteri Besar turut menyampaikan watikah perlantikan selama setahun kepada ADUN Belia Negeri Sembilan
Turut hadir, Yang Di Pertua Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato’ Dr. Awaluddin Hj Said, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan, Belia dan Sukan Negeri Sembilan dan Presiden Majlis Belia Negeri Negeri Sembilan, Puan Wan Salwati Hj Abdullah.

Istiadat Pembukaan Persidangan Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri ke-XIII


Seremban, 30 Sept – Istiadat Pembukaan Persidangan Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri ke-XIII Negeri Sembilan disempurnakan oleh D.Y.M.M Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir di Dewan Undangan Negeri Sembilan, Seremban.

Persidangan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini sehingga 02 Oktober (Rabu), dan kesemua wakil rakyat mewakili Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) hadir bagi memulakan persidangan hari ini turut mendengar titah ucapan D.Y.M.M. Tuanku Muhriz di Dewan Persidangan.

Terdahulu, Tuanku Muhriz diiringi Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan pekenan memeriksa perbarisan kawalan kehormatan di hadapan Dewan Undangan Negeri.

Di dalam titah ucapan baginda, baginda menyeru agar kerajaan (BN) yang dipilih dan diberi mandat oleh rakyat ini menumpukan tugas kepada kesejahteraan rakyat tanpa memilih latar belakang mereka.

Malah, baginda turut menyeru kepada wakil rakyat di dalam barisan PR bersama-sama membantu dan mengenepikan sentimen politik bagi memastikan kesejahteraan rakyat diberi keutamaan mutlak.

Baginda di dalam titah turut, berasa berpuas hati dengan perkembangan dan pentadbiran negeri di bawah pentadbiran Menteri Besar yang telah membawa pelaburan dan pembangunan mampan di dalam negeri ini.

Menyentuh berkaitan prestasi ekonomi, kewangan dan pembangunan di dalam titah Tuanku, baginda berpuas hati dengan pencapaian yang diperolehi oleh Negeri Sembilan kerana  prestasi tersebut telah merangsang pertumbuhan ekonomi sekaligus mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini.

Selain itu, beliau turut berbesar hati kerana prestasi pengurusan kewangan negeri mengutamakan pengurusan kewangan berhemah, disamping berjaya meningkatkan hasil pada setiap tahun dan amalan perbelanjaan berhemah.

Baginda seterusnya berbangga dengan prestasi pengurusan kewangan di mana kerajaan negeri telah mencatat surplus dalam Akaun Hasil Disatukan berjumlah RM21.96 juta pada tahun 2012.

Ujar baginda lagi, ” prestasi tersebut telah meningkatkan rizab Kumpulan Wang Disatukan kepada RM347.47 juta pada 31 Disember 2012.

Kecemerlangan pengurusan kewangan terus dipamerkan melalui keupayaan membayar balik pinjaman kepada Kerajaan Persekutuan.

Bagi tahun 2013 iaitu sehingga 15 Julai 2013, Kerajaan Negeri Sembilan merupakan salah satu daripada dua buah negeri di Malaysia yang telah membayar balik hutang secara tunai.

Tuesday, 3 September 2013

KRT tarik minat generasi muda


Paroi, 01 Sept –Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan menyempurnakan bangunan baharu Kawasan Rukun Tetangga Taman Paroi Jaya ‘A’ Seremban.

Di dalam ucapan, beliau menyatakan bahawa komposisi kependudukan Melayu di bandar telah menyaksikan beberapa perubahan dan jurang kehidupan antara bandar dan luar bandar. Tambah beliau ini kerana kerajaan negeri prihatin serta mengambil berat keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Pelbagai kemudahan dan insfrastruktur di bina menjadikan masyarakat bandar berkembang mengikut arus perdana dalam masa yang sama membawa perkembangan kepada kehidupan di luar bandar.

Begitu di kampung, keselamatan dan kesejahteraan dijaga oleh JKKK di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar begitu juga di bandar di mana KRT di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional,masing-masing memainkan peranan yang sama.

Sedang negara pesat membangun, faktor keselamatan dan kesihatan di ambil perhatian khusus agar rakyat berasa selesa dan sejahtera di kawasan kediaman mereka.

Skim Rondaan Sukarela (SRS) di bawah penyeliaan KRT berjaya memainkan peranan itu juga menjadikan kawasan di bawah skim tersebut berjaya mengurangkan kadar jenayah.

Namun begitu, Menteri Besar menasihatkan SRS di kawasan ini di buka kepada generasi muda dan lebih bertenaga bagi memantau kawasan dan persekitaran yang perlu diambil perhatian.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional, Negeri Sembilan, Pengerusi KRT Taman Patoi Jaya ‘A’,  Dato’ Hj Mohd Mokhtar Hj Mohd Yassin dan Pengasas KRT Taman Paroi Jaya, Dato’ Mohd Firdaus Harun.

Monday, 2 September 2013

Penyakit Kencing Tikus Masih Terkawal


Rasah, 29 Ogos – Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan berlangsung di perkarangan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan.Majlis dikunjungi tetamu kehormat, Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan berserta isteri, Raja Datin Seri Hajah Salbiah Tengku Nujumuddin.

Di majlis sama, beliau turut menyampaikan jalur gemilang sempena hari kemerdekaan kepada hospital dan pejabat kesihatan daerah.

Malah beliau turut menghargai sumbangan kuih raya oleh PEKERTI yang diketuai oleh isteri Menteri Besar untuk diagihkan kepada anggota bertugas.

Dalam majlis tersebut Menteri Besar mengulas bahawa tahap penyakit kencing tikus di negeri ini masih terkawal dan tidak sampai tahap terpaksa mengadakan kempen memburu dan membunuh tikus.

Ujar beliau menjadi keutamaan semua orang menjaga dan mengutamakan kebersihan dan kesihatan kerana ianya akan mencegah segala penyakit.

Katanya lagi, sampel kebersihan sentiasa dikaji selidik oleh Jabatan Kesihatan setiap masa dan dimaklumkan kepada Jabatan Pelancongan dan di bawa ke pengetahuan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Kerajaan Negeri sentiasa memantau dan tidak mahu ianya menjadi satu masalah dan ancaman yang melanda negeri ini.

Kawasan eco-pelancongan seperti di Ulu Bendul dan Jeram Toi, walaupun kawasan yang terdedah dan mempunyai aliran sungai yang panjang, setakat ini masih selamat dan tidak terdedah dengan penyakit tersebut.

Menurut Menteri Besar lagi, pengagihan tanggungjawab yang dilakukan oleh Jabatan Kesihatan bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah diberi supaya masalah seumpama penyakit tikus tidak menular di negeri ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato’ Hj Mat Ali Hj Hasan dan isteri, Datin Hajah Paezah Hj Ismail dan Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Dato’ Hajah Norzailan Dato’ Adnan.