Powered By Blogger

Thursday, 28 November 2013

Naik Taraf Sekolah Aliran Agama



Seremban, 27 Nov. – Menteri Besar Negeri Sembilan juga Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, komited dan fokus mahu menjadikan Sekolah Menengah Agama di negeri ini sebagai Sekolah Perdana dan pilihan pertama ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

Beliau ternyata amat gembira kerana hasrat mahu melihat sekolah menengah agama di negeri ini yang dulunya dipandang sepi kini pencapaian  keputusan peperiksaan umumnya amat cemerlang terutamanya PMR 2012, iaitu daripada 15 buah sekolah terbaik, lapan daripadanya merupakan sekolah menengah agama.

Ujar beliau ketika berucap di Majlis Penyampaian Pinjaman dan Bantuan Zakat kepada pelajar-pelajar Timur Tengah 2013/2014 di Klana Resort, Seremban.

Beliau menambah, “disamping mahu menjaga kesucian agama Islam, kita juga perlu bertindak untuk kita pertingkatkan syiar Islam di negeri ini.

Beliau turut berbesar hati menambah tajaan kepada pelajar persendirian anak-anak negeri ini yang melanjutkan pelajaran di negara Timur Tengah di mana bagi pelajar tajaan sudah ditambah pada tahun lalu.
Penambahan tersebut melibatkan tiket kapal terbang pergi-balik ke Mesir iaitu daripada RM1,800 kepada RM2,200.

Sementara bantuan dana zakat dan sara hidup bagi pelajar tajaan dan persendirian dinaikkan kepada RM6,000 kepada RM10,000. Ianya mengambil kira keadaan selepas revolusi yang berlaku yang menyebabkan harga barangan melambung tinggi.

Manakala di Jordan pula, bantuan dana zakat dan sara hidup bagi pelajar tajaan dan persendirian dinaikkan daripada RM4,000 kepada RM7,000, mengikut kepada keadaan yang berlaku di sana.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri Sembilan, YB. Tuan Taha Samsudin, Ketua Polis Negeri Sembilan juga Ahli Majlis MAINS, Dato’ Osman Salleh, Setiausaha MAINS, Encik Kamal Amran, Pengarah JHEAINS, Ustaz Selamat Paigo.

Wednesday, 27 November 2013

Sistem Penapisan Air Semulajadi - SAINS


TITI, 25 Nov – Penggunaan sistem baru dalam perawatan loji air diperkenalkan dengan lebih konvensional melalui sistem penapisan berpasir yang dinaik taraf berikutan kapasiti air yang tinggi tidak dapat menampung kekeruhan air akibat sistem sedia ada terlalu lama dan menyukarkan proses penjernihan air pada satu-satu masa.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB dato’ Seri Utama Haji Mohamad Hj Hasan menjelaskan, sistem baru yang diperkenalkan ini merupakan satu sistem yang baik dimana ianya diproses melalui mendapan pasir di mana ianya dapat menghasilkan sistem perawatan air secara semulajadi.

“Berikutan pembangunan yang galak di kawasan berhampiran seperti industri perladangan, tahap kekeruhan air di sungai Kenaboi tidak dapat ditampung  lagi dan penghasilan air yang disalurkan terus kepada orang ramai kurang memuaskan,” katanya.

“Justeru, dengan menaik taraf sistem pembersihan air di loji Titi ini akan dapat merawat air bersih dan keruh. Keputusan ini berdasarkan kepentingan kesihatan kepada penduduk sekitar,” tambahnya.

Beliau juga turut melahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan persekutuan yang memberi peruntukkan dalam usaha kerajaan negeri menaik taraf sistem pembekalan air yang baik di seluruh negeri ini.

Tuesday, 26 November 2013

Gaya Hidup Sihat - Komuniti Sendayan


Sendayan, 23 Nov. – Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan menyempurnakan Pusat Komuniti Setempat Taman Bukit Sendayan.
Majlis penyempurnaan dua dalam satu iaitu Balairaya Taman Bukit Sendayan dan Gelanggang Sepak Takraw akan menjadi tempat beraktiviti masyarakat dan riadah bagi golongan belia di kawasan setempat.
Menteri Besar di dalam ucapannya turut bersetuju pembinaan gelanggang futsal di taman ini dengan syarat ada sebidang tanah bagi tujuan tersebut.
Perkembangan lain pula, beliau turut menyeru masyarakat dan komuniti yang berada di kawasan ini mengamalkan gaya hidup sihat dan melaksanakan aktiviti masyarakat dengan baik.
Ujar beliau lagi, berbanding dengan kawasan lain di negeri ini, Sendayan merupakan kawasan yang giat membangun dan di nasihatkan masyarakat di sini tidak menjual hartanah walaupun harga bakal melambung tinggi.
Ini disebabkan faktor bahawa beliau mahu masayarakat di sini merasai apa yang diusahakan oleh Kerajaan Negeri dan diterjemahkan dalam bentuk pembangunan perindustrian dalam bandar dan mengekalkan ciri desa dan cukup damai dan harmoni.
Beliau seterusnya menandatangani plak perasmian balairaya Taman Bukit Sendayan di sini, hari ini.
Turut hadir, Pegawai Daerah Seremban, Tuan Hasnol Mohamad.

Tuesday, 19 November 2013

IBM transformasi ekonomi N9



SEREMBAN 17 Nov. – Sepasukan pakar dari syarikat teknologi IBM telah membangunkan secara komprehensif blue print berkaitan transformasi ekonomi negeri ini sehingga tahun 2020 di bawah geran ‘Cabaran Bandar Raya Pintar IBM’ yang diperoleh negeri ini, tahun lalu.

Pasukan IBM itu yang terdiri daripada pakar teknologi dan perunding antarabangsa telah berada selama tiga minggu di negeri ini dan dibiayai sepenuhnya oleh program keperkasaan teknologi di bawah IBM, selepas Negeri Sembilan terpilih daripada 30 bandar dan negeri di dunia untuk menerima geran pembangunan berjumlah USD400,000 (RM1,280,000) dari syarikat tersebut.

Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mat Ali Hassan berkata, perubahan landskap ekonomi telah mendorong kerajaan mencari peluang yang lebih baik dalam memperbanyakkan kemasukan pelabur ke dalam negeri ini.
”Cadangan daripada pasukan pakar IBM ini dilihat dapat membantu kerajaan negeri untuk menggariskan pelbagai kerangka dan peluang serta menumpukan kepada usaha mendekati skop yang dapat membawa kejayaan lebih besar,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan IBM di sini semalam.

Tambah beliau, pasukan pakar ini telah bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri dalam mencari dan mengumpulkan maklumat dari pelbagai sumber, bersama Rangkaian Minang (NS) Sdn. Bhd.
”Segala input itu akan membantu meningkatkan lagi sumber negeri melalui apa juga yang diperoleh dan perkhidmatan berteraskan ekonomi serta tidak hanya tertumpu dalam bidang pertanian sebagai sumber asas,” katanya.

IBM dalam program yang dilaksanakan ini telah menghasilkan garis panduan untuk membolehkan agensi kerajaan di negeri ini mampu bekerjasama untuk menarik kehadiran pelabur baharu.

Pada masa yang sama pasukan pakar IBM ini juga mengemukakan beberapa cadangan dalam pembentukan badan pemantau bagi memastikan harapan terhadap pembangunan ekonomi negeri ini mencapai sasarannya.
Sementara itu, Pengarah Urusan IBM Malaysia, Paul Moung berkata, pihaknya dapat melihat skop yang lebih berjaya dengan jalinan kerjasama antara agensi kerajaan, termasuklah sokongan kuat yang ditunjukkan oleh rakyat.

”Dengan gabungan inisiatif tersebut, sepatutnya dapat membantu negeri ini mengekalkan mahupun meningkatkan lonjakan ekonominya,” katanya.

”Menjadi harapan IBM, melalui kepakaran yang dikongsi bersama kerajaan negeri ini, selain pengalaman yang diberikan oleh pasukan pakar, dapat membantu negeri ini mencapai kemajuan melalui teknologi pintar dalam peningkatan ekonomi semasanya,” jelasnya.

Ketika ini, menjadi harapan kerajaan ini untuk melihat peningkatan paras Keluaran Dalam Negara Kasan (KDNK) negeri kepada 37 peratus iaitu daripada RM27.7 bilion kepada RM38 bilion, selain memastikan juga penambahan dalam paras pendapatan perkapita kepada 23 peratus, iaitu daripada RM32,500 kepada RM40,000.

Buat masa ini, sumber ekonomi dipertingkatkan melalui sektor pembuatan, namun pada masa sama, dapat dilihat usaha dilakukan kerajaan negeri dalam mempelbagaikan sumbernya supaya kesannya tidak membosankan dalam kehendak pasaran.

Negeri Sembilan merupakan negeri yang pertama terpilih dalam program ‘Cabaran Bandar raya Pintar IBM’ di negara ini, sekali gus membuka ruang pertukaran pengetahuan yang bakal menyaksikan pembikinan sebuah ‘negeri pintar’ menjelang 2020.

Antara perkara yang dibangunkan secara bersama itu meliputi pembangunan ekonomi, air, tenaga dan persekitaran, kesihatan dan perkhidmatan sosial, pengangkutan serta keselamatan awam.

Di akhir kerjasama itu kelak, IBM akan mengemukakan secara komprehensif beberapa cadangan untuk penyelesaian masalah, diikuti beberapa minggu kemudian dengan perinciannya, sebelum menggariskan secara bertulis pelan tindakannya.

Bakal beroperasi pada Mac 2014


Sendayan, 12 Nov. – Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan menyempurnakan Bangunan Baru Kilang Ext Technologies Sdn. Bhd (ETSB), Techvalley Sendayan, milik 100% bumiputera, iaitu anak jati Negeri Sembilan, Tuan Hj Ahmad Abu Kassim, Pengarah Urusan, EXT Technologies Sdn. Bhd.


Kilang ini bakal beroperasi pada Mac 2014, setelah mesen dan jentera siap di pasang sepenuhnya.
Berpengalaman selama 10 tahun sejak 2003 sebagai pengeluar ‘earth fault indicator’ (EFI) yang dibekalkan kepada TNB ketika itu, kini syarikat bumiputera tersebut mengorak langkah setapak lagi sebagai pengeluar ‘solar module’ (solar panel) iaitu kompenan utama dalam menjana tenaga elektrik dari cahaya suria (matahari) yang kebanyakannya di gunakan di lapangan ‘solar farm’ ketika ini.


Menurut Menteri Besar ketika sidang media, pembinaan kilang seumpama ini merupakan satu keputusan tepat sekali malah kilang ini merupakan yang pertama di negeri ini. Ditambah pula seluruh dunia sedang berubah daripada tenaga elektrik konvensional kepada tenaga elektrik yang diperbaharui.


Beliau turut menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri meletakkan syarat 30% dasar pembangunan teknologi hijau, kepada pembangunan baru termasuk tenaga solar,  sambil mengambil contoh kejayaan ‘solar farm’ di Pajam, Mantin, berjaya mengeluarkan tenaga solar sebanyak 12mW dan 2mW daripada gas.


Tegasnya lagi, Kerajaan Negeri akan memastikan perlaksanaan dasar teknologi hijau ini dilaksanakan mengikut kuota yang diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan sambil membantu masyarakat dunia yang kini berhadapan dengan masalah ‘global warming.’


Beliau menambah, pembuatan dan pengeluaran yang dibuat oleh EXT Technologies untuk keluaran tempatan dan antarabangsa  ini dijangka akan mengurangkan harganya yang ketika ini sangat tinggi. Malah hasrat beliau, mahu melihat premis perniagaan dan orang ramai dapat menggunakan solar panel di masa akan datang.

Atlet perlu lebih progresif dan kreatif


Rantau, 10 Nov. - Berbanding sekarang, atlet dan jaguh sukan dahulu lebih progresif dan kreatif di dalam memburu kemenangan terutamanya sukan bola sepak.

Sebaliknya atlet hari ini dilihat depresif dan tidak bersungguh mahukan kemenangan walaupun mereka memperoleh banyak kemudahan, insentif malah gajinya lebih lumayan, RM20,000 berbanding RM5.00  (dahulu) bagi menyarung jersi peringkat negeri mahupun negara.

Beliau ternyata amat kecewa dengan prestasi pasukan bola sepak Negeri Sembilan yang dibangunkan sejak 2004 dari Liga Perdana melonjak ke Liga Super, layak kepertandingan akhir Piala Malaysia 2009, 2010 dan 2011, menjadi juara 2009 dan 2011.

Kemudiannya, menunjukkan persembahan hambar sejak 2012 sehingga kembali ke Liga Perdana 2014 selepas tewas banyak perlawanan di musim 2013.

Ujar beliau di sidang media ringkas selepas menyaksikan Program Bola Sepak Perpaduan 7 sebelah bawah 12 tahun ‘Piala Raja Bola’ sanjungan kepada Allahyarham Tan Sri Datuk Hj Abd Ghani Minhat.

Pengurusan pasukan bola sepak Negeri Sembilan tidak mempunyai masalah pengurusan dan kebajikan pemain, malah apa yang berlaku, menunjukkan sesuatu telah berlaku dan ada yang tidak kena.

Beliau juga Presiden PBNS telah menyenarai pendek senarai pemain 2014 dan sedang meneliti pemain import di mana 3 pemain import bakal dipilih termasuk satunya perlu berasal dari negara Asia.

Selaku Presiden PBNS, beliau dijangka mengumumkan ketua jurulatih pasukan dalam masa seminggu, dua ini.

Friday, 15 November 2013

Usaha dakwah Program KAP / j-Qaf SAR (KAFA) bantu pelajar cemerlangan


Sikamat, 08 Nov. – Menteri Besar Negeri Sembilan juga Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan menyempurnakan Majlis Khatam Al-Quran Sekolah-Sekolah Program KAP / j-Qaf – SARA (KAFA) Negeri Sembilan di Masjid Kariah Sikamat, Seremban.

2013 yang merupakan tahun keempat majlis khatam beramai-ramai ini telah berjaya mengumpulkan 5,600 orang pelajar dari daerah Seremban sahaja dari jumlah keseluruhannya tahun ini.

Seramai 44,383 orang dari 292 jumlah pusat dan jenis sekolah di seluruh negeri ini berjaya khatam Al-Quran bagi tahun 2013.

Di sidang media, Menteri Besar menjelaskan, kini Negeri Sembilan sedang menuai hasil dari usaha yang dimulakan sejak 2005/2006 dan hasrat mahu melihat generasi hari ini dibekalkan dengan ilmu agama di samping mereka membesar dalam keadaan celik al-Quran.

Beliau juga Pengerusi MAINS menjelaskan bahawa MAINS berperanan membantu hasrat yang di bawa oleh Kerajaan Negeri malah di sambut oleh Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan.

Ujar beliau, “ianya tidak dilakukan berasingan dan ini merupakan ‘Blue Ocean Strategy’, iaitu kerjasama pintar malah ia menjimatkan beratus juta kos perbelanjaan berbanding negeri lain yang membina sekolah yang berasingan.”

Malah beliau turut berpuas hati di mana sejak mengadakan program ini, keputusan UPSR, PMR dan SPM juga baik dan bergerak seiring seperti mana dihasratkan beliau selama ini.

Hadir sama, ADUN Kawasan Paroi, YB Mohd Ghazali Abdul Wahid, Pengarah Pelajaran Negeri Sembilan, Puan Hajah Kalsom Mohd Khalid, Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Sembilan, Encik Mohd Isah Ismail dan Setiausaha MAINS, Encik Kamal Amran Kamaruddin.