Powered By Blogger

Monday 1 April 2013

Pendidikan untuk golongan dewasa



Paroi, 29 Jan – Pangsapuri Sri Perdana Paroi diumumkan menjadi anak angkat kepada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) di dalam rangka Kerajaan Negeri mahu memperkasakan ilmuan Islam di negeri ini.

Dato’Seri Utama Hj Mohammad Hj Hassan, Menteri Besar selaku Pengerusi  MAINS telah menjadikan Pangsapuri Sri Perdana sebagai lokasi program pendidikan bagi golongan dewasa termasuk kelas mendalami ilmu-ilmu agama dan mempelajari kitab-kitab sahih kepada anak-anak yang menghuni dikawasan tersebut.

Beliau turut hadir menyempurnakan Majlis Program Insan Rabbani dan Karnival Sambutan Maulidur Rasul di perkarangan Pangsapuri Sri Perdana Paroi, malam tadi.

Ujarnya, “MAINS akan menyediakan tenaga pengajar dari lepasan Universiti Al-Azhar dan Timur Tengah yang tamat pengajian mereka. Mereka ini bakal diserap dan ditugaskan untuk memberi khidmat bakti kepada masyarakat di negeri ini.

Menteri Besar menyatakan perancangan, kelas akan dibuat dua atau tiga kali seminggu, malah akan diadakan kelas bulanan dan penganjuran program tahunan seperti program Sambutan Maulidur Rasul.

Tambah beliau lagi, “penekanan dan hasrat kerajaan ini, tidak lain dan tidak bukan mahu meningkatkan syiar Islam di negeri ini yang sedang menyinar. Program seumpama ini akan mempertingkatkan akidah dan membina  akhlak generasi baru.

Dengan kewujudan kelas seumpama ini, ibu bapa yang masih muda dan generasi anak-anak yang sedang membesar dapat dibentuk dengan sempurna, tambahan pula ia akan memantapkan jati diri tak kala dunia sedang berdepan dengan pelbagai cabaran dan dugaan.

Beliau menegur, “daripada kita duduk saja, menunggu orang datang kepada kita dan memberi perkhidmatan apabila dikehendaki, adalah lebih baik perkhidmatan ini diubah. Kita perlu memberi perkhidmatan tanpa orang menagih perkhidmatan kita seperti selalu.”

Cara baru ini bukan sahaja kepada MAINS, tetapi akan dipanjangkan kepada agensi dan jabatan-jabatan kerajaan agar keberkesanannya dirasai oleh masyarakat.

Menteri Besar turut meluangkan masa menyerahkan sendiri bantuan MAINS kepada asnaf di pangsapuri  Sri Perdana Paroi.

Beliau turut melapangkan masa melawat dewan serbaguna yang bakal digunakan sebagai kelas pendidikan agama Islam ini kelak.

Turut hadir, Ustaz Kamal Amran Kamarudin, Setiausaha MAINS, Dato’ Hj Firdaus Harun, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, Tn Hj Luqman, Wakil Yang di-Pertua MPS, Tn Hj Shamsudin Awaludin, Imam Masjid At-Taqwa, Paroi dan Puan Hajah Arpah Mat Dom, Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Rembau.

No comments:

Post a Comment